Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

SEMUANYA SOAL HATI

$
0
0

cvr soal hati.inddKetika berhias diri di hadapan cermin, Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita berdoa: “Ya Allah sempurnakan akhlakku sepertimana Engkau sempurnakan kejadianku.” Secara tidak langsung doa ini mengajar kita bahawa nilai akhlak jauh lebih penting daripada rupa lahir kita.

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Allah tidak memandang rupa lahir kamu dan harta kekayaan kamu tetapi Allah memandang hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ahmad).

Ini menunjukkan nilai seorang manusia bukan pada wajah lahirnya tetapi pada wajah batinnya.

Ketika manusia jahiliah tenggelam dengan pelbagai kenikmatan dunia, Rasulullah s.a.w. menyampaikan peringatan dan amaran daripada Allah bahawa kehidupan dunia itu tiada apa-apa nilai melainkan mata benda yang menipu daya. Firman Allah yang bermaksud: “Tidaklah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-Hadid 57:20)

Rasulullah juga memperkukuhkan peringatan itu dengan satu metafora melalui sabdanya yang bermaksud: “Jika kehidupan dunia itu lebih bernilai di sisi Allah melebihi nilai sehelai sayap nyamuk, maka Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air.” (Riwayat Ibn Majah no. 4110)

Hasilnya, orang Islam dapat memanfaatkan kebaikan dunia untuk kebaikan akhirat. Malah dunia itu penting kerana adanya akhirat. Jika semasa orang Islam berasa tertekan dengan kehebatan dan keangkuhan orang kafir yang menindas mereka, Allah memujuk mereka melalui firman-Nya yang bermaksud: “Jangan kamu berasa hina dan jangan kamu berasa takut, kamu adalah tinggi jika kamu beriman.” (Surah Ali ‘Imran 3: 139)

Bahkan Allah menegaskan tidak ada bezanya nilai darjat orang Arab dengan orang ajam (bukan Arab) melainkan taqwa yang dimiliknya. Firman Allah, mafhumnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi kamu adalah orang yang bertaqwa.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Oleh sebab itu, Sayidina Bilal yang berkulit hitam, berbibir tebal dan berambut kerinting, tidak berasa hina diri (inferiority complex) kerana Allah dan Rasulullah telah memuliakannya dengan iman dan taqwa. Dengan penuh syukur dia berkata, “Dulu aku hamba, Allah telah bebaskan aku dengan Islam. Dulu aku hina, Allah telah muliakan aku dengan iman.”

 

Justeru, sering diungkapkan; tidak mengapa jika kakimu yang sakit, asalkan hatimu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi, dengan hati yang sakit, kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai orang yang mempunyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun dikelilingi keseronokan.

Allah Yang Maha Adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Allah tidak zalim kerana meletakkan kebahagiaan pada ketenangan “hati emas” – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita dan hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan disesah oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan berganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalan-Nya.

Apabila tiba saat diuji, jangan lari tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Bersedia dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat! Sering dikatakan oleh ahli kebijaksanaan, “jangan dipinta diringankan ujian, tetapi pintalah dikuatkan hati untuk menghadapinya!”

Apabila sudah tiba di dasar paling bawah, sudah tentu tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” untuk kejayaan. Kita sudah merasai kepahitan pada ubat yang ditelan. Itulah ubat hati, yang pahit, pedih dan menyakitkan tetapi itulah ubat dan penawar yang akan melegakan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mihnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tiada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya; hati emas!

Memburu selain-Nya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres dan kebosanan.

Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuhkan solat lima waktu dengan sunat rawatib. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan lisan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu daya dan kezaliman.

Hayatilah sebuah sabda; jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!

 

Inilah persoalan yang mendasar buku “Semuanya Soal Hati” yang sedang anda baca sekarang. Ia mengajak kita semua, bersama-sama melihat, menghitung dan menyelesaikan soal hati. Dalam dunia materialistik dan individualistik ini, soal hati tidak mendapat tumpuan yang sewajarnya. Ini kerana soal hati adalah soal yang maknawi – tidak ketara dan tidak dapat dipandang dengan mata. Pada hal perkara-perkara yang tidak nampak itulah yang lebih dominan dan berkuasa dibandingkan soal-soal lahiriah. Kerana soal hatilah yang menguasai dan mendasari semua perlakuan manusia.

 

Kedatangan Rasulullah SAW itu untuk menyempurnakan akhlak manusia.  Akhlak itu juga hakikatnya dibentuk oleh kebersihan hati. Justeru, Allah berfirman:

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad, s.aw.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (Pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” Al Jum’ah:2

 

Melalui buku ini insyaAllah, kita akan sama-sama menyorot mengapakah soal hati ini sangat penting… Apakah peranan hati dalam kehidupan ini? Apa yang sepatutnya disemai dan dituai di dalam hati orang mukmin.? Dan apakah pula racun atau sifat-sifat mazmumah yang boleh mengotori dan mematikan hati.  InsyaAllah, semuanya ditulis dengan bahasa yang mudah. Mudah-mudahan dapat dihadamkan dengan pantas oleh akal, dapat dirasai dengan mendalam oleh hati, dan dapat pula dilaksanakan dengan tangkas oleh seluruh pancaindera.

 

Buku ini bukanlah kitab tasawuf yang membincangkan soal hati secara terperinci. Namun, soal hati ini cuba diungkapkan dengan bahasa yang mudah, pendekatan yang santai dan mesej yang jelas.  Justeru, kerap juga isi yang sama saya ulang-ulangkan  beberapa kali dalam tajuk yang berbeza bagi menteladani kaedah Rasulullah SAW dalam mendidik. Al Tarmizi meriwayatkan dari Anas, bahawa dia berkata:”Rasulullah sering mengulang-ulang perkataannya sebanyak 3 kali agar setiap perkataan baginda difahami.”

 

“Ilmu itu…” menurut ahli bijak pandai, “ialah ketibaan makna pada hati.” Mudah-mudahan apa yang telah kita fahami di dalam kepala (melalui pelbagai bacaan, wacana dan perbahasan) boleh diresapkan secara mendalam ke dalam jiwa,  seterusnya melahirkan tindakan-tindakan yang  bermanfaat.

 

Ya, manusia bertindak bukan atas dasar apa yang difikirkannya, tetapi mengikut apa yang dirasainya.  Rasa itu lebih dominan daripada fikir. Rasa itu di hati, fikir itu di kepala. Justeru, menangani soal hati menjadi lebih utama daripada sekadar menyelesaikan soal fikiran. Tetapi ini tidak menafikan langsung kepentingan akal… bukankah akal itu adalah pelita hati? Namun jika kita hanya terhenti pada soal kepala, dan tidak cuba menyelongkar soal hati, kita akan kecewa kerana kita hanya tahu kebaikan sesuatu perkara tetapi tidak mahu apalagi mampu melaksanakannya!

 

Buku ini bukanlah kitab Tasawuf yang sarat dengan nasihat, panduan dan kaedah membersihkan hati dengan begitu terperinci. Namun, ia mengenegahkan satu pendekatan yang tersendiri yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip teras ajaran tasawuf di dalam Islam.  Dengan bahasa yang sederhana, ditambah oleh contoh-contoh yang kontemporari serta tamsilan-tamsilan yang rengkas, buku ini akan menyentuh soal yang paling berat dan besar dengan pendekatan yang ringan dan mudah. Mudah-mudahan kalangan masyarakat tidak kira dari golongan mana, setinggi atau serendah mana tahap pengetahuan agamanya, akan dapat memahami dan menghayatinya.

 

Semoga saya menulis segala-galanya dari hati, dan semoga segala-galanya itu juga tertumpah ke dalam hati  para pembaca. Saya bukanlah insan yang baik, tetapi insyaAllah sedang berusaha ke arah itu dengan cuba menabur sebanyak-banyak kebaikan melalui tulisan.  InsyaAllah, semoga Allah mengurniakan taufik dan hiadayahNya agar kita sentiasa berhati-hati menjaga hati termasuk semasa membaca buku “Semuanya Soal Hati” ini. Amin.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172