Tentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.
Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”
Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr ( gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”
Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan sehingga kini. Kita lihat betapa ramai ahli ibadah tertipu dengan ‘menyembah’ kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk berbakti kepada Allah. Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak dan akhlak itu terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain. Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah. Firman Allah: ” Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” Maryam: 96
Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya, tetapi ironinya ada juga orang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat betapa ramai orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah sehingga berkali-kali. Setiap kali pulang ke Tanah Air, dia mula bercerita tentang tangisannya ketika mengucup Hajarul Aswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa penuh khusyuk di Pancur Emas, atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur di makam Rasulullah SAW. Itulah yang jadi bahan ceritanya sekembali dari Makkah.
Seiring perkembangan teknologi terkini, segala apa yang telah dilaluinya akan jadi entri baru di muka buku (FB). Terpampanglah gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah dan pelbagai lagi tempat suci… Sepatutnya, apabila berada di rumah Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang didengar oleh Allah, bukan yang kita tuliskan untuk tatapan orang lain.
Lebih malang lagi apabila dalam realitinya ada juga individu yang telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega membiarkan saudara mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar, bahkan sahabat terdekatnya dalam keadaan yang melarat. Contohnya, ada majikan memburu pahala mengucup ‘hajarul aswad’ sedangkan dia punya peluang merebut pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang sedang hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda dengan bersolat di Masjid al Haram dan Nabawi, sedangkan jirannya meronta-ronta kelaparan. Ini ibadah Sang Kapitalis!
Para abid yang tertipu ini hanya membina ‘ritual’ agama tetapi bukan roh atau ‘spiritual’ agama. Nilai amal itu bukan terletak kepada soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut) tetapi terletak pada tujuan dan roh amal ini. Allah telah mengingatkan betapa perlunya kita menyantuni orang-orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda iman dan amal soleh. Firman Allah:”Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang-orang miskin.”
Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, “Kita perlu akrab dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” Ertinya, hubungan dengan Allah (‘habluminallah’) dan hubungan sesama manusia (‘habluminannas’) itu sangat erat keterkaitannya. Seseorang tidak akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan baik sesama manusia.
Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau tetapi di rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit, dan rumah kebajikan orang-orang tua. Jika kita bijak menilai keutamaan, banyak yang kita boleh buat untuk mendapat kecintaan Allah dengan berbuat baik sesama manusia!