Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

MENGAPA REMAJA MEMBULI?

$
0
0

leadersKenapa  tiba-tiba sahaja remaja bertindak ganas. Sanggup memukul dan membuli kawan sendiri. Dan sekali lagi… masyrakat kembali heboh, kenapa remaja kita jadi begini? Kita mesti cari puncanya hingga ke akar umbi! Begitu, selalunya slogan kedengaran apabila isu itu hangat diperkatakan.

Walau hasrat itu kelihatan semacam terlewat, tetapi lebih baik daripada tidak memulakan langsung. Apakah kita akan senyap kembali bila masa berlalu (walaupun isu itu belum selesai)… dan ‘sure’ heboh bila berlaku tragedi baru yang lebih terkini dan sensasi?

Tidak terlalu sukar untuk mencari punca gengsterisme. Ia berpunca dari kekacauan dalaman. Ini selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Di dalam hati anak manusia ada seketul daging, jika baik daging itu baiklah seluruh anggota badan, jika jahat hati itu maka jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah daging itu ialah hati.”

Jika hati telah jahat, maka itulah yang menimbulkan perbuatan-perbuatan ganas. Inilah akar semua kejahatan termasuk gengsterisme. Hati jahat kerana dihinggapi penyakit-penyakit hati (mazmumah). Antara penyakit-penyakit hati itu ialah ego, marah, geram, dendam, hasad, cemburu dan lain-lain.

Hakikat ini bertepatan dengan kajian ilmu psikologi. Menurut pakar psikologi perlakuan manusia ditentukan oleh ‘personal belief system’nya – sistem keyakinan peribadi yang berada di dalam jiwanya. Sistem keyakinan ini pada asasnya mengandungi prinsip-prinsip tentang ketuhanan, kebenaran, kebaikan atau apa sahaja bentuk kepercayaan samada yang bersumberkan fitrah tabi’enya semata-mata atau apa yang diperolehinya daripada ajaran dan pendidikan. Keyakinan ini kemudiannya membentuk pandangan alamnya  (world-view) tentang hidup dan kehidupan. Atau dalam istilah yang lain inilah juga yang dinamakan paradigma, persepsi (tanggapan) atau set minda (mind-set).

Keyakinan tentang adanya Tuhan misalnya, akan membentuk pandangan alam yang menyebabkan seseorang individu akan melihat kehidupan ini dengan rasa ‘conciousness of the Creator’ – kesedaran ada Tuhan yang Maha Pencipta. Individu ini akan berfikir, menilai, menyaring serta membuat tanggapan berdasarkan apa yang diyakininya berdasarkan prinsip keyakinan dan set mindanya. Pandangan alam ini kemudiannya membentuk asas nilai dalam diri. Pendekkata ia akan meletakkan ‘nilai’ sesuatu perkara, benda, peristiwa, kejadian pada neraca timbangan asas nilaiannya itu. Apa yang bernilai, akan cuba diperolehi, sokong, sayang atau laksanakan. Manakala sesuatu yang dirasakan tidak bernilai akan ditinggalkan, dibantah, dibenci dan ditinggalkannya.

Daripada asas nilai inilah terbentuknya konsep ‘pain and pleasure’ yang selalu dikatakan oleh pakar-pakar psikologi. Atau dalam istilah Islamnya – khauf (takut) dan raja’ (pengharapan). Apa yang dirasakan sebagai ‘pleasure’ akan dibuat, sebalik yang dianggap ‘pain’ akan ditinggalkan. Lama kelamaan asas nilai ini akan membentuk siri tindakan yang dilazimi dari sesama ke semasa. Akhirnya, terbentuklah sikap atau tabiat. Sikap atau tabiat ialah tenaga penggerak yang menjadi sumber pembentukan tingkahlaku. Maka ketika inilah lahirnya perbuatan, samada positif atau negatif. Dan pada ketika ini barulah terserlah kebaikan atau ‘tembelang’ seseorang. Maknanya, ibu segala perlakuan jenayah adalah sistem keyakinan yang salah atau rapuh, yang menyebabkan terbentuknya paradigma atau ‘pandangan alam’ yang serong, dan ini menghasilkan asas nilai yang salah, yang akhirnya terbentuklah sikap negatif yang melahirkan perlakuan jenayah.

Sekarang kita dapat bayangkan betapa satu perlakuan jenayah itu sebenarnya menerusi beberapa ‘proses’ atau tahap sebelum ia terhasil. Dan kita sebenarnya punya banyak peluang dan kesempatan untuk mencegah perlakuan itu pada tahap-tahap tertentu sebelum ia beralih ke tahap yang sukar diatasi. Ertinya, kita mesti bermula daripada usaha menanamkan keyakinan, pandangan alam, asas nilai dan pembentukan sikap. Dan saya ingin tegaskan lagi, semua ini melibatkan proses pendidikan samada secara formal atau informal.

Walaupun pada zahirnya gengsterisme berkisar pada persoalan sosial dan keselamatan, namun akar masalah itu berpunca daripada soal pendidikan. Justeru, penyelesaian masalah tingkah laku manusia perlu ditangani dengan menerusi kaedah yang bersifat ‘dari dalam ke luar’ (inside-out) bukan ‘dari luar ke dalam’ (outside-in). Berani saya katakan,  pendekatan penyelesaian gengsterisme kini kurang atau gagal melihat secara tersirat tentang sesuatu pemasalahan.

Berdepan dengan masalah ini kebanyakan kita hanya melihat yang hal-hal yang bersifat tersurat.  Fokus kita hanya terbatas untuk menangani ‘presenting problem’ yang bersifat luaran. Jarang kita mahu menyelam untuk mencari hakikat atau ‘the real problem’ yang bersifat dalaman. Akibatnya, jalan penyelesaian yang kita pilih selalunya terfokus kepada soal-soal ‘kulit’ yang bersifat ritual dan slogan, bukan lagi kepada soal isi atau ‘substance’ sesuatu permasalahan.

Bagaimana seharusnya masalah dalaman ini ditangani? Perlu diingat bahawa terbentuknya individu yang baik bergantung kepada bentuk pendidikan yang diberikan. Jika tepat sistem pendidikan yang diberi maka baiklah manusia yang dihasilkan. Dan begitulah sebaliknya. Jadi masalah gengsterisme sebenarnya bukanlah masalah sosial, tetapi ia adalah masalah pendidikan. Dalam konteks ini institusi yang paling penting dinilai dan dikoreksi dengan teliti ialah sekolah.

Ya, setiap sekolah memang bercita-cita melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan akhlak. Malangnya, kekadang motto seperti ‘ke arah melahirkan pelajar bestari dan berdedikasi’ hanya tinggal slogan. Mengapa? Perlu diingat, bahawa memberi pelajaran dan pendidikan adalah dua perkara berbeza. Mungkin pelajar-pelajar berjaya menimba pelajaran. Memberi pelajaran melibatkan  proses menyampaikan ilmu. Tetapi mendidik adalah satu perkara yang lain. Kekadang proses pembelajaran tercapai tetapi proses pendidikan agak terabai. Pencapaian pelajaran boleh diukur menerusi prestasi dalam peperiksaan tetapi kejayaan pendidikan jauh lebih kompleks dan abstraks.

Ukuran tuntas atau tidaknya proses pendidikan itu ialah tahap akhlak seseorang pelajar. Bagaimana akhlak perlajarnya? Oleh itu para guru dan ibu-bapa yang merupakan pendidik dalam ‘institusi’ pendidikan yang bernama sekolah dan rumah-tangga harus sama-sama bermuhasabah. Misalnya, apakah pelajar-pelajar mereka hanya mendapat pelajaran atau pada masa yang sama turut juga mendapat pendidikan? Jika sekolah hanya sekadar gelanggang menimba ilmu, ya… pencapaian akademik pelajar kita sangat membanggakan. Pencapaian dalam UPSR, SPM, STPM nampaknya semakin meningkat. Namun bagaimana sekolah sebagai tempat menimba asuhan, tunjuk ajar yang  baik dan didikan akhlak?

Dalam pendidikan, faktor yang paling utama ialah pendidik. Kenapa kita gunakan istilah pendidik, bukan pengajar? Ramai orang tersilap, mengatakan bahawa pendidik dan pengajar itu sama… Jika kita sudah ada pengajar, maka dengan sendirinya kita sudah ada pendidik. Banyak bezanya antara pendidik dengan pengajar. Pengajar menyampaikan ilmu kepada anak muridnya. Dia mengajar ilmu-ilmu tertentu samada ilmu agama ataupun akademik. Matlamat utama pengajar ialah agar ilmu yang diberikan itu dapat difahami dan ‘dituang’ semula semasa peperiksaan. Ertinya, berlaku perpindahan ilmu dari akal ke akal – yakni dari akal pengajar kepada akal murid dan akhirnya murid meluahkan semula ilmu itu di atas kertas peperiksaan.

Pendidik lebih dari itu. Justeru dia berperanan mendidik jiwa muridnya. Supaya jiwa muridnya terkesan oleh ilmu yang diberikan, yang kemudianya ilmu itu dihayati, diyakini dan kemudiannya diamalkan maka tugas pendidik lebih ‘advance’ daripada pengajar. Dia perlu memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak muridnya. Jika tugas pengajar banyak berlegar ‘di akal’ tetapi tugas pendidik pula adalah ‘di hati’ – punca segala perlakuan manusia!

Pendidik memastikan dalam jiwa anak muridnya timbul kemahuan sedangkan pengajar hanya berperanan supaya timbul pengetahuan. Kekuatan ‘kemahuan’ sebenarnya mengatasi ‘pengetahuan’. Katalah murid telah diajar tentang sifat-sifat sabar, dia tahu apa cirinya, apa kategori sabar, apa unsur-unsur yang membawa kepada sifat sabar… Tetapi hanya dengan itu mampukah ia bersabar apabila berdepan dengan sesuatu yang mencabar kesabarannya?

Tugas ini adalah tugas pendidik, justeru hanya pendidik punya kemampuan untuk memastikan ilmu yang ada itu dapat diamalkan. Cabaran utama dalam sistem pendidikan secara umumnya ialah kadangkala kita mampu memberi ilmu sebanyak-banyaknya, tetapi gagal dalam memberi didikan setepat-tepatnya. Justeru, yang penting sekarang ialah bagaimana kita mampu melahirkan ramai pendidik bukan sekadar meramaikan pengajar atau menambah bilangan IPTA atau IPTS. Ya, mungkin ini cabaran  baru buat negara, bagaimana melahirkan lebih ramai pendidik!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172