Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

DAKWAH KOMERSIAL…

$
0
0

images (1)“Ramai orang agama yang tidak beragama,” katanya dengan keras. Nada marah dan kecewanya jelas kedengaran. Sejak awal perbualan lagi nada suaranya meninggi.

“Orang agama yang tidak beragama? Bagaimanakah itu tuan haji?” tanya saya. Walaupun saya dapat mengagak maksudnya tetapi sengaja saya bertanya lagi untuk mendapat penjelasan yang tepat.

 

Sikap Tidak Selari Ilmu

“Mereka ini golongan yang ada ilmu agama tetapi kelakuan dan sikapnya berbeza sungguh dengan ilmu yang dimiliki.”

Oh, itu maksudnya. Saya terus mendengar dengan teliti.

“Saya dengar macam-macam kes angkara golongan agama.”

Saya sebenarnya memang menghormati tuan haji yang saya kenali sejak muda. Beliau sangat prihatin dengan masalah masyarakat. Tidak hairanlah beliau dianggap sebagai pemimpin walaupun tidak ada jawatan. Dia pemimpin tanpa jawatan kerana pengaruhnya yang sangat kuat.

“Angkara?” sampuk saya lagi. Saya ingin terus menjadi pendengar. Begitu seharusnya. Pesan guru saya, jika rakan bual kita sedang marah, jadilah ‘tanah’. Maksudnya, sedia dan setia menjadi ‘punching bag’ yang rela ditinju oleh kemarahannya.

“Ada yang kahwin poligami secara cuba-cuba,” katanya.

“Kahwin dengan isteri kedua, tiga empat bulan kemudian diceraikan. Kasihan wanita jadi mangsa. Alasannya, isteri pertama tidak tahan menderita, ibu sendiri tidak reda dan macam-macam lagi,” tambahnya apabila melihat saya diam.

“Mungkin benar. Mereka juga diuji. Apa boleh buat, mereka tidak tahan lagi diuji,” balas saya.

“Kalau kail panjang sejengkal, lautan yang dalam jangan diduga. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Ukur baju badan sendiri. Sebagai orang agama, fikir masak-masak dahulu. Awak juga yang syarah sini-sana; bermesyuarat dengan manusia, istikharah dengan Allah.”

“Orang yang istikharah juga diuji, tuan haji.”

“Betul. Tetapi mengapa sekejap sangat? Tidak sampai beberapa bulan sudah dilepaskan. Kahwin poligami bukan macam main enjit-enjit semut siapa sakit naik atas.”

Hebat, tuan haji ini kaya dengan pepatah-petitih. Dalam hati saya juga ada menyimpan perasaan yang sama. Banyak kes yang serupa saya dengar di hujung-hujung telinga. Malah ada isteri-isteri yang diceraikan oleh ‘ustaz-ustaz’ datang mengadu. Mereka terkejut kerana apa yang diharapkan dan jangkakan terhadap lelaki yang mereka rela dimadukan tidak kesampaian.

Kepercayaan yang Disia-siakan

“Bagaimana, betulkah kalau saya katakan ada orang agama tidak beragama? Mentang-mentang orang hormat, hargai dan percaya, awak persiakan semua itu. Pantang saya melihat orang dizalimi. Saya akan tentang penzaliman itu!”

Saya diam. Dalam hati saya bersuara, walaupun tidak dinafikan ada individu yang bersikap begitu, tetapi ada golongan agama yang benar-benar membela kaum wanita dengan berpoligami. Pada saya, jika niatnya baik, mampu dan sanggup menempuh ujian, dipersilakan. Tetapi jika hanya separuh hati, tekad belum bulat, tabah masih goyah, jangan cuba-cuba. Perkahwinan bukan soal ‘trial and error’.

“Satu lagi, saya dapat aduan ada ustaz-ustaz tidak cakna tentang hutang. Lidah bercabang. Janji pelaburan macam-macam. Guna duit orang sewenang-wenangnya. Tidak prihatin dengan hak orang lain. Hutang sini, hutang sana. Janji hendak bayar, tetapi buat-buat lupa.”

Wah, tuan haji ni buka fail baharu pula. Kali ini kes yang melibatkan kewangan. Bagi saya kes ini lebih kritikal. Kes tidak amanah dengan harta dan wang ringgit orang lain oleh golongan agama lebih banyak terjadi. Buat perniagaan umrah, produk kesihatan, rawatan Islam dan macam-macam lagi perniagaan tetapi tidak jujur.

“Ada seorang pesakit mengadu. Bayangkan, scan awal sahaja dikenakan caj beratus-ratus ringgit. Rawatan susulan, begitu juga. Pada hal, rawatannya hanya pakai borong,” getusnya.

“Sakit kronik agaknya,” pintas saya.

“Orang yang sakit kroniklah yang patut lebih disantuni. Sudahlah sakit, ditambah pula dengan sakit hendak membayar bil. Apa salahnya berpada-pada. Bukan pesakit mahu murah sangat. Kita faham, ustaz-ustaz pun ada kos juga. Tetapi jangan berlebih-lebihan. Kebanyakan pengubatan guna doa dan ayat-ayat al-Quran sahaja.”

Saya senyum. Saya sendiri pernah membawa pesakit untuk dirawat dengan pengubatan alternatif oleh ustaz-ustaz tertentu. Ada yang langsung tidak mengenakan bayaran. Hendak beri, beri. Jika tidak adapun tidak mengapa. Tetapi ada juga yang mengenakan caj yang tidak logik. Begitu tinggi harganya. Sudahlah begitu, bertemu dengannya pun tidak sampai seminit.

“Ustaz-ustaz yang begitu akan disumpah seranah oleh pesakit. Saya bukan menuduh semua. Ada yang begitu jujur mengubati pesakit. Disantuninya pesakit dengan kata-kata nasihat, didoakan, disentuh jika pesakit itu lelaki. Anak saudara saya sendiri sihat dibuatnya, tetapi bayarannya tidaklah tinggi. Malah bukan bayaran pun, cuma derma untuk pusat pendidikannya.”

“Kadangkala masyarakat yang menyebabkan mereka jadi begitu,” kata saya.

“Saudara mahu menyalahkan masyarakat pula?”

 

Harga Ikut ‘Gred’

“Bukan itu maksud saya. Kadangkala masyarakat terlalu memuja dan meminati mereka.  Lalu meletakkan ‘harga’ yang tinggi buat khidmat mereka. Akhirnya mereka jadi ‘lemak’ dan terpesona dengan sanjungan masyarakat lalu meletakkan harga yang tinggi untuk khidmat mereka,” ujar saya membetulkan.

“Ustaz-ustaz ini ada gred tersendiri! Ada gred A, B, C dan seterusnya.”

Saya hampir ketawa dibuatnya. Kali pertama saya mendengarnya.

“Gred? Siapakah yang menentukan gred-gred itu?”

“Ai, seperti yang saudara kata tadi. Masyarakatlah, siapa lagi?”

“Bagaimana?” jolok saya ingin mendapat maklumat tentang perkara ini, sesuatu yang benar-benar baharu buat saya. Bayangkan, ustaz-ustaz pun ada gred, macam durian pula.

“Ustaz selebriti, gred A. Ustaz ada gelaran, gred B. Ustaz kampung, gred C…”

Saya senyum.

“Jadi, apakah kepentingan gred-gred itu?”

“Gred itu menentukan kadar bayaran untuk ceramah, penulisan, rawatan, pengiklanan, tiket kapal terbang dan hotel penginapan.”

“Tidak sampai fikiran saya ke situ, tuan haji,” akui saya terus-terang.

“Saya pun hanya mendapat maklumat daripada sahabat-sahabat yang terlibat secara langsung dengan urusan-urusan tersebut. Kalau ustaz selebriti bayarannya tinggi, penginapan mesti hotel bertaraf hotel empat bintang ke atas, malah adakala penerbangannya mesti business class.”

“Jika orang mahu beri tidak salah. Itu hadiah. Yang salah kalau menuntut dan mendesak,” jelas saya cuba menjernihkan keadaan.

“Tetapi ini termasuk dalam terma dan syarat. Jika setuju, mereka akan mengisi program. Jika tidak, maaflah. Ditolak. Macam berniaga. Ini dakwah komersial namanya,” sindirnya sinis.

Saya diam. Sukar untuk memberi pandangan secara adil tanpa mendengar pendirian dan alasan semua pihak. Namun apa yang pasti, hal ini sudah menjadi isu yang ‘hangat’ dalam kalangan yang terlibat.

Sudah ada ustaz yang menulis dan memberi penjelasan. Saya hanya mampu berharap supaya roh dakwah yang ada dalam diri para sahabat dan salafussaleh terus suci daripada pencemaran ‘dakwah komersial’ yang menggoda pendakwah masa kini.

“Aku bukan benci golongan ustaz. Jangan salah faham. Oleh sebab sayangnya aku luahkan pada kau. Kamu penulis, tulislah tentang ini. Jangan sampai orang agama dilecehkan.”

Saya diam. Berfikir. Mampukah? Wajarkah? Berbagai-bagai soalan dan persoalan menerjah.

 

Jangan Sampai Disalah Nilai

“Satu lagi, kamu mesti tulis tentang golongan ustaz yang mengajar di institusi pengajian menengah dan tinggi.”

“Tentang apa, tuan haji?”

“Tentang keseriusan mereka mengajar. Datang tepat masa. Mengajar habiskan silibus. Dalam kelas jangan merewang menyampaikan perkara-perkara lain. Pelajar-pelajar sekarang boleh menilai kesungguhan atau kemalasan mereka menyampaikan ilmu. Di mulut mereka tidak bersuara, tetapi di hati para pelajar ini menilai. Hilang rasa hormat mereka terhadap guru begitu.”

Tuan haji ini banyak sungguh maklumatnya. Bertubi-tubi. Dia orang masyarakat yang telinga, mata dan hatinya bersama rakyat. Memang saya akui ada golongan agama yang tidak prihatin dengan masa. Kurang menepati janji, jika berceramah panjangnya berjela-jela sedangkan datang tidak menepati masa. Bercakap dalam forum sering ‘mencuri’ masa ahli panel yang lain, lain yang ditanya lain yang dijawab, lawak yang tidak kena masa, datang kosong tangan, kosong kepala, bercakap atas apa-apa yang terlintas dan teringat sahaja.

“Ingat, tulis! Tolonglah ini harapan saya.”

Akhirnya saya mengangguk. Walaupun mungkin apa yang saya tulis terkena batang hidung sendiri jua!

 

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172