Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

SINGGAH DI DARUL TAQWA

$
0
0

download

Darul Taqwa

(Cerpen pertama dalam buku terbaru: REVOLUSI, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.) 

 

 MATANYA digosok-gosok lagi. Dia tidak percaya apa yang dilihatnya.

 “Di mana aku ini?” detik hatinya. Hidungnya masih berair. Tekaknya kesat. Selesemanya masih berat. Masih seperti semalam. Masih menggugat. Kepalanya terus pusing. Dengan kertas tisu, hidung dikesat. Kertas itu kemudiannya dicampak ke tepi jalan. Di mana aku ini?

 Tiba-tiba satu suara menerjah.

 “Assalamualaikum. Pak cik, biar saya tolong kutip kertas itu. Kebersihan separuh daripada iman.” Satu suara menegur dari belakang. Gemersik tapi mengusik. Dia mencari arah datangnya. Dari mana? Dari siapa? Siapa pemilik suara itu?

 

Belum sempat dia memastikan, suara itu menerjah lagi. “Pak cik, biarlah saya kutip. Nanti kalau Pegawai Penguatkuasa Bahagian Taharah datang, pak cik akan didenda.”

 

Dia berpaling bersungguh ke belakang. Kelihatan seorang budak berbaju putih dengan serban melilit kepala. Mereka saling berpandangan. Hatinya bertambah pelik. Itulah pemilik suara itu. Siapa dia? Di mana ni? Dalam keadaan terpinga-pinga, dia mula berfikir. Dia membetulkan tali lehernya. Aku tertidur barangkali dan kini dalam mimpi. Ini mimpi. Teka-teki terus menerkam. Mencengkam kotak fikirannya. Dia terus bingung.

 

Budak itu dipandangnya. Dia perlu mengikut cakap seorang budak? Kepantangannya mengikut cakap budak. Tiada siapa berani menasihati apatah lagi mengarahkan itu ini kepadanya. Dia VIP daerah ini. Denda? Ah, apa perlu ditakutkan. Kalau ada yang mahu mendendanya, biar orang itu datang. Duit ini akan menyelesaikannya, dia yakin.

 

Direnungnya muka budak itu lama-lama. Kemudian dia melihat alam sekeliling. Inikah Kay El? Kay El kota miliknya? Apa sudah jadi? Ini senibina Arab atau Eropah, Jepun atau Melayu? Bangunan pencakar langit berceracakan di sana-sini. Di mana menara berkembar yang menjadi mercu tanda Kay El? Di mana menara telekomunikasi yang menjadi tumpuan pelancong itu? Apakah kedua-duanya sudah ditenggelamkan oleh bangunan-bangunan pencakar langit yang baharu?

 

Kubah-kubah jadi puncak bangunan pencakar langit. Menara kaca dan bangunan kristal yang hebat. Jelmaan daripada unsur senibina yang sangat aneh. Adunan kesenian kubah Masjid Besi dengan kemodenan Burj Khalifa? Lebih cantik, lebih mantap. Ini idea siapa?

 

Dia masih termangu. Seolah-olah patung kaku tetapi kepalanya mula ligat dan berputar … berfikir. Mencari erti daripada realiti yang dilihatnya. Budak tadi masih tercegat di hadapannya. Sama-sama hairan nampaknya. Orang memakai sut terbang berlegar ke sana ke mari di ruang udara. Namun begitu, semuanya terbang mengikut jalur ruang udara yang tersusun, seakan-akan sebuah lingkaran pejalan kaki di awang-awangan. Kereta api laju meluncur bagai peluru terlepas dari rifel. Anehnya, di celah lalu-lintas yang sibuk itu, dia tidak menghidu bau petrol mahupun gas. Juga tidak kelihatan langsung asap berkepul-kepul dari ekzos kenderaan yang lalu-lalang. Dia juga tidak mendengar bunyi bising engin kenderaan yang membingitkan telinga.

 

‘Ini super advance! Teknologi canggih yang hanya layak ditangani oleh manusia unggul,’ bisik hatinya. Dia masih belum mampu berkata-kata. Masih terkejut.

 

Siapa mereka?

 

Di mana aku?

 

Dia terus tertanya-tanya.

 

Budak di depannya turut terdiam. Terpaku oleh simpulan hairan. Terikat oleh pintalan pelik. Budak itu juga hairan.

 

Siapa pak cik ini? Pakaiannya lain macam saja. Macam tokoh-tokoh lama buku sejarah saja.

Siapa budak ini? Pakaian kuno pondok. Tapi hidup di tengah kemodenan begini rupa? Apakah ini Aladdin? Budak dengan lampu ajaibnya?

 

Teka-teki itu terus menerjah dalam medan fikiran mereka. Kertas tisu yang tercampak tadi terus terbiar. Budak itu masih tercegat. Tergamam. Tidak jadi mahu mengutipnya.

 

Budak itu mahu membuka mulut untuk menjawab. Namun belum sempat dia berkata, tiba-tiba datang sebuah Audi RSQ perak metalik dan bercahaya menerpa. Itu kereta futuristik yang sepatutnya belum berada di atas jalan! Kereta itu berhenti betul-betul di hadapan mereka. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian kemas. Segak dan hebat. Warna jubah mereka biru gelap. Serban mereka berwarna hitam jalur biru.

 

“Assalamualaikum. Maaf, encik. Encik didapati bersalah membuang sampah­. Satu kesalahan yang sudah puluhan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa. Kami terpaksa mendenda encik. Kebersihan separuh daripada iman. Ini hadis Rasulullah SAW.”

 

Denda? Bentak hatinya. Mukanya berkerut. Lelaki-lelaki di depannnya nampak asing. Dia tambah hairan. Dia termangu-mangu. Belum apa-apa lagi sudah didenda, bagaimana ni?

“Mengikut Akta 1.3 Kanun Taubat dan Kifarat, encik didenda dengan mengucap tiga puluh kali Astaghfirullah, berselawat seribu kali. Denda mesti dibayar tunai, di tempat kesalahan dan saya sebagai Pegawai Hisbah boleh jadi saksi,” kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut.

 

Dia tersentak. Apa jenis undang-undang ini? Tak pernah aku dengar. DBEKL mana ada undang-undang macam ni? Dia tercengang-cengang. Patutkah aku membayarnya? Namun egonya tiba-tiba meledak. Dia pantang dicabar.

 

Ah, pantang aku diarah-arah. Tak kenalkah mereka siapa aku? Aku pembesar kota Kay El. Tak ada warga kota yang tak kenal aku!

 

“Macam mana kalau lima ratus ringgit? Saya tak mahu terlibat dalam hal karut-mengarut ni. Kira selesai di sini saja,” katanya angkuh.

 

Pegawai itu senyum.

 

“Maaf, encik. Bukankah kita sama-sama ditarbiah. Allah Maha Mengetahui. Sengaja encik nak usik kami agaknya. Mana ada orang terima rasuah sekarang ini. Semua orang takutkan dosa. Semua orang takut neraka.”

 

Apa ini? Ustaz atau Pegawai DBEKL? Cakap pasal dosa. Pasal Allah. Pasal tarbiah. Pening, pening, pening.

 

Dia makin bingung.

 

“Apa, duit tak laku lagikah?” sergahnya.

 

“Ini kerajaan Islam Darul Taqwa, encik. Semua bekerja kerana Allah. Duit bukan matlamat. Duit hanya alat. Semua orang berebut-rebut mahu korbankan duit untuk dapat pahala akhirat,” kata pegawai berjanggut dan berjambang itu tenang.

 

“Darul Taqwa? Ini negara apa? Kamu ini siapa? Jangan permainkan saya!”

Budak yang dari tadi tercegat di situ cepat-cepat berlalu. Tak mahu campur, suasana sudah semakin panas.

 

“Oh, oh … maafkan kami. Sebelum saya jawab, saya nak tanya sikit. Pakaian apa yang encik pakai ini? Mana encik dapat?” tanya pegawai itu pula. Sejak dari tadi mereka memang hairan. Kenapa dia berpakaian begitu? Itu adalah pakaian kuno yang sudah lama tenggelam dilipat sejarah.

 

Aku yang gila, atau mereka yang gila? Detik hatinya.

 

Dia berjalan menuju kereta Audi RSQ yang mengagumkan itu. Melalui cermin sisi, dia nampak mukanya dengan jelas. Tidak ada yang salah. Tali leher, kemeja, dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula, Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan – pemimpin Kay El yang punya visi dan ambisi.

“Apa yang pelik dengan pakaian saya? Kamu yang pelik. Jubah dan serban kamu ketinggalan zaman!” katanya sombong. Namun dalam hatinya beribu teka-teki belum terjawab. Pakaian mereka kolot tetapi bagaimana dengan kereta futuristik, sut terbang dan kereta api laju mereka? Bagaimana dengan teknologi kenderaan tanpa pencemaran asap dan bunyi itu? Bagaimana manusia-manusia kolot ini punya kemahiran mengendalikan teknologi begini tinggi?

 

“Maaflah. Pakaian yang encik pakai ini adalah fesyen generasi lima puluh tahun yang lampau. Iaitu ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa. Itu pakaian kuno warisan lapuk. Kami hanya dapat melihat gambar-gambarnya saja. Itu pun dalam buku sejarah mengenai zaman kebangkitan Islam. Sekarang Islam sudah kuat dan berdaulat. Tak ada orang yang memakainya kecuali orang asing yang diberi kebebasan untuk mengamalkan budaya dan adat resam mereka oleh kerajaan Islam Darul Taqwa.”

 

Dia termangu-mangu kebingungan. Fikirannya tambah keliru. Bercelaru.

“Di mana aku ini? Siapa kamu?” dia bertanya. Terus terang.

 

Dua pegawai hairan. Dia tidak siuman?

 

“Encik di bandar raya Mutmainnah. Dulunya dikenali sebagai Kay El. Kita sekarang berada di Jalan Mujahadah. Nama silamnya Jalan Chow Kit. Ini kawan saya Nuruddin, pegawai Bahagian Taharah, dan saya Muhammad Jamil, pegawai Hisbah. Kami diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahiriah bandar ini.”

 

Apa? Kay El sudah jadi bandar raya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa itu Mutmainnah? Apa itu Mujahadah? Apa sudah jadi ni? Soalan-soalan itu terus menggempurnya.

 

“Encik, kami rayu encik membayar denda tadi. Kalau tak boleh bayar sekarang, okeylah kami beri kelonggaran. Lepas solat nanti, encik laksanakanlah. Demi kebaikan encik dunia dan akhirat,” desak pegawai itu lagi.

 

Dia jadi serba salah. Sebelum sempat dia bertindak, tiba-tiba kedengaran suara memberi salam dari jauh. Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur datang menemui Pegawai Hisbah.

 

“Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Selamatkanlah saya. Saya takut neraka. Seksanya amat pedih. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia, sebelum saya dihukum di akhirat!” rayu lelaki itu lagi.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambilnya. Dia lari sekuat-kuat hati. Lari melepaskan diri. Dia tidak mahu dihukum.

Mereka tidak mengejarnya. Dia terlepas … lega.

 

* * *

 

Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tiba-tiba dia terdengar pengumuman dari sistem pembesar suara di tepi-tepi jalan.

 

“Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed al-Abrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais al-Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini dia menjamu nasi Arab. Tolonglah datang. Tunaikanlah hajatnya, nanti Allah akan tunaikan hajat tuan-tuan!”

 

Makan percuma? Tidak. Dia tidak akan mencemarkan diri menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia mencari restoran kelas satu. Dia perlu menjaga statusnya. Dia pembesar Kay El. Bandar Mutmainnah? Ah, persetan dengan nama itu. Baginya Kay El tetap Kay El.

Dia masuk ke sebuah restoran tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berpakaian sunnah dan menutup aurat. Matanya tidak betah lagi melihat semua itu. Dia benci sungguh. Itu fantasi hikayat 1001 malam, protes dalam dirinya. Namun kerana lapar, dia masuk juga.

 

“Maaf, tuan. Itu pintu masuk untuk Muslimah. Di sini untuk Muslimin.”

 

“Ceh! Diskriminasi, double standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan.” Mukanya dicemikkan kepada tuan kedai yang menegurnya. Ada saja yang tidak kena.

 

“Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka begini. Saya tak suka ada pemisahan macam ni.”

 

Lelaki itu tersenyum. “Lima puluh tahun yang lalu ada. Sekarang kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Wanita telah diangkat ke darjat yang ditetapkan oleh syariat. Pemimpin Darul Taqwa telah membebaskan wanita dari Women’s Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak-anak,” terangnya. Mukanya jernih dihiasi serban dan jubah putihnya.

 

“Ini bertentangan dengan dasar demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, malah komunis sekalipun tak macam ni.”

 

“Masya-Allah, tuan. Apa ni? Tuan jangan sebut-sebut nama ideologi itu lagi. Semuanya telah termaktub dalam ajaran-ajaran sesat dalam Perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada lagi yang berperang dengan fahaman jahiliah tu. Subhanallah, masyarakat kita sudah lama bertaubat daripada idea dan minda nenek moyang kita yang tidak Islamik,” kata tuan restoran itu sambil mengurut-urut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggeleng-ngeleng.

 

Ah! Persetan semua itu. Apa nak jadi, jadilah. Perutnya lapar. Dia pun masuk.

 

“Nasi Arab sepinggan!” pesannya.

 

“Dalam pinggan, tuan?” tanya pelayan itu kehairanan.

 

“Ya! Apa pasal pulak?”

 

“Baik, tuan. Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjemaah. Tuan makan seorang?” tanya pelayan berkulit hitam itu.

 

Dia tambah geram. Direnung ke hadapan, iaitu ke tempat orang menikmati makanan. Tidak ada meja makan. Hanya ada hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan dalam satu dulang. Makan berjemaah? Setahunya, yang ada hanya solat berjemaah. Yek! Jijiknya.

 

Ah! Dia tetap dia. Dia ada pendirian! Nasi Arab dengan ayam goreng kegemarannya sudah terhidang di atas kain putih khas.

 

“Jemput makan. Sila dengan Bismillah,” jemput pelayan itu dengan sopan.

 

Dia makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan TV. Dia makan seorang diri. Terasa bagai kera sumbang. Namun dia memasang telinga. Peka untuk mendengar sebarang suara. Dia melihat peti TV di hadapannya – Rancangan Berita. Juruhebah berserban baru memulakan bacaannya.

 

“Amir Darul Taqwa dan lain-lain pemimpin negara G-7 Muslim akan berangkat ke Baitul Muqqadis untuk sama-sama menunaikan fardu Jumaat di Masjidil Aqsa hujung minggu ini, seterusnya menghadiri Sidang Kemuncak G-7 Muslim. Pemimpin-pemimpin tujuh negara Islam itu akan berada di kota bersejarah itu untuk merangka ketetapan bersama bagi membentuk satu ikatan guna membantu ekonomi negara-negara baharu yang bernaung di bawah G-7 Muslim. Negara-negara seperti Sepanyol, Mexico, Brazil akan mula disusun dengan corak politik dan ekonomi Islam mulai tahun ini.

 

“Muzakarah kali ini juga menjadi perhatian dunia kerana G-7 Muslim dijangka membuat satu ketetapan tegas terhadap kerajaan Amerika yang telah diberi kata dua sama ada membayar jizyah atau menghadapi serangan bersama-sama negara-negara Islam seluruh dunia sejak minggu lepas.

“Baitul Muqqadis yang telah ditadbir bersama oleh negara-negara Islam sejak Israel ditawan dua puluh tahun lalu kini telah mula sibuk dengan kedatangan wartawan-wartawan dari seluruh dunia untuk membuat liputan awal Sidang Negara-negara G-7 Muslim itu … .”

 

Mulutnya melopong mendengar berita tersebut. Ini rancangan betul atau lakonan? Nasi di mulutnya masih belum lumat. Dia masih diserang deretan kejutan yang maha hebat. Ah, gila aku dibuatnya. Pendengarannya terus dipertajamkan.

 

Kali ini corong telinganya dihalakan ke sebelah kiri, betul-betul ke sekumpulan lelaki yang sedang makan di dalam sebuah dulang. Mereka makan dengan rancak. Tidak seperti dia yang teragak-agak. Mereka tidak sedar yang dia sedang mengikuti perbualan mereka dengan teliti.

 

“Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk solat Subuh,” ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapannya perlahan, seperti tidak lalu makan.

 

“Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain?” kata sahabat di sebelahnya.

 

“Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit, malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tapi tiada seorang pun mahu menerima sedekah ana,” keluhnya.

 

“Ah, susah kita sekarang. Orang miskin dapat bolot pahala redha, pahala sabar. Orang kaya macam kita melepas. Mereka patutnya bantu kita. Ah, susah jadi orang kaya macam kita ni. Dahlah di akhirat kelak banyak dihisab, di dunia pula tiada orang yang sudi menerima sedekah kita!” keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi.

 

“Beruntunglah nenek moyang kita. Sewaktu Islam diperjuangkan dahulu, mereka dapat korbankan harta dengan banyak. Dapat labur dalam saham akhirat. Saya pun dapat harta ini melalui warisan daripada bapa, yang diwariskan oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah apabila kerajaan Darul Taqwa nak laksanakan projek G-7 Muslim tu. Saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham akhirat. Tak mahu saya mati dalam keadaan begini,” kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan-lahan.

 

Dia bertambah pelik. Apa mentaliti orang-orang ini? Tak faham dia. Pahala, pahala, pahala … Akhirat, akhirat, akhirat … Mati, mati, mati … . Sempit sungguh. Kalau asyik fikir mati, macam mana nak maju?

 

“Tambah nasi sepinggan lagi!” pintanya kepada pelayan restoran.

“Encik musafir barangkali.”

“Saya nak tambah nasi. Apa kaitanya musafir tak musafirnya saya?”

 

“Hanya musafir yang selalu tambah nasi. Pada musafir diharuskan makan banyak. Mereka perlukan tenaga lebih dan makanannya pun tidak dihisab. Kalau tuan tidak musafir, saya nasihatkan berhentilah sebelum kenyang. Itu sunnah dan boleh menghindarkan penyakit. Maaf, tuan. Saya pelayan merangkap Pegawai Perubatan,” kata pelayan itu lagi.

 

“Apa? Awak Pegawai Perubatan? Seorang doktorkah? Kalau doktor, awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran. Saya ke sini untuk makan, bukan nak dengar ceramah agama atau penerangan kesihatan!” bentaknya. Dia marah. Sejak tadi dia rasa dipermain-mainkan. Dia rasa diperolok-olokkan oleh keadaan.

 

“Encik, mana ada hospital sekarang. Yang ada pun khusus untuk bayi, kanak-kanak, wanita, juga untuk para mubaligh mujahid yang cedera ketika pergi berjuang. Masyarakat Darul Taqwa amalkan prinsip makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Masyarakat ini masyarakat sihat. Tak ada hospital di Darul Taqwa!”

 

“Bodoh! Kalau macam tu, bagaimana nak rawat penyakit kencing manis aku ni?”

 

“Kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya hanya mengetahui tentang itu semasa membaca buku perubatan lama edisi lima puluh tahun dulu. Sekarang penyakit tu sudah pupus. Tak ada siapa menghidapnya.”

 

Dia tambah bengang. Semuanya menyakitkan.

 

“Batalkan saja pesanan saya tadi, banyak sangat cakap. Bosan. Saya perlukan hiburan sekarang. Di mana boleh saya dapati?” tanyanya.

 

“Di sana, tuan. Melalui skrin sentuh di sebelah sana. Tuan boleh dapat apa sahaja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.”

 

Dia melangkah cepat ke tempat yang ditunjukkan. Ada berbagai-bagai ikon dengan bermacam-macam warna di skrin sentuh itu. Fungsi karaoke dikembarkan sekali. Sungguh unik. Sangat rumit. Namun kekeliruan itu disembunyikan. Dia malu kalau-kalau dengan Pierre Cardinnya dia masih kelihatan kolot. Diberanikan hatinya, satu ikon berwarna hitam disentuhnya. Muncul tajuk besar – KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu:

 MATI ITU SAKIT

 BARZAKH SATU KEPASTIAN

 IZRAEL DATANG TIBA-TIBA

 MUNKAR NAKIR

Eeiiii … seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ni? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatinya bukan kristal. Hatinya boleh pecah dengan lagu-lagu seperti itu. Dia tidak mahu mati.

 

Dia beralih ke ikon berwarna hijau dan tanpa lengah terus disentuhnya. Tulisan di atas skrin terpampang RAJA’. Kemudian muncul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti.

 

FIRDAUSI MELAMBAIMU

DENGAN RAHMAT-NYA KE SYURGA

SESEJUK TELAGA KAUSAR

BIDADARI

 

Ah! Kepalanya semakin pusing. Semuanya tentang akhirat. Apa nak jadi ni?

 

“Tak ada lagu yang popular sikitkah?” tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

 

“Nanti pak cik. Saya pilihkan lagu paling popular sekarang ni. Top-hit anak-anak muda sekarang ni.”

 

“Ya, ya. Saya setuju.”

 

Telinganya dihalakan kepada pembesar suara di dinding restoran itu. Dia ingin menikmati lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci al-Quran pun bergema. Mula-mula perlahan, kemudian tambah nyaring.

 

“Eh, ni suara orang mengaji, bukan menyanyi. Ni bukan lagu.”

 

“Nanti dulu, pak cik. Selepas ini ada terjemahannya, baru menyusul lagunya,” kata pemuda berjubah coklat itu sambil matanya ditutup rapat-rapat. Asyik sekali pemuda itu.

 

Nyanyian itu terus bergema … .

 Cintaku berlabuh

 Di persada rahmat-Mu

 Mendamba kasih

 Yang tidak mungkir

 Mengutip sayang

 Di hamparan saujana

 Suci kasih-Mu ya Allah

 

Inilah gelaran hatiku

Memburu cinta-Mu

Dalam beribu cuma Kau yang satu

Tiada yang lain

Idaman hati

Inilah runtunan rasa

Sekeping jiwa

Memburu cinta

Merindu Ilahi

 

Dia tidak tahan lagi. Dia mendengus dan pergi ke kaunter bayaran. Dia ingin cepat berangkat. Mahu keluar dari restoran itu. Mahu keluar dari Jalan Mujahadah. Mahu keluar dari Kota Mutmainnah. Mahu keluar dari Darul Taqwa. Dia mahu kembali ke Kay El. Kay El miliknya.

 

“Maaf tuan, ini duit lama. Kalau tuan tak bawa duit, kami halalkan sajalah.”

 

Dia makin geram. Dia menderam dan berkata, “Kalau begitu, saya bayar dengan kad kredit saja!”

 

Dia menghulurkan kad kredit keemasannya.

 

“Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini sistem yang sudah lama pupus. Mata wang Darul Taqwa berdasarkan emas. Bukan pada kertas yang diberi status. Kami guna nilai yang sebenar. Kami guna duit emas. Tak apalah tuan, saya halalkan saja.”

 

“Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan, berbungkal-bungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri.”

 

“Di Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya tiga puluh tahun yang lalu. Pencuri itu sendiri menyerah diri dan minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa neraka.”

 

“Ah, aku tak nak dengar semua itu. Makin gila aku!” pekiknya lantas meluru keluar dari restoran.

 

Di luar. Semua pandangan menyakitkan hatinya.

 

Dilihatnya pemandu kereta laju berserban merah tersenyum ke arahnya. Pemandu kenderaan udara dengan tulisan MAKRUFAT AIR TRANSPORT sibuk terbang ke sana ke mari. Di seberang jalan tertegak skrin besar dengan tulisan jelas: KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH – terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak mereka. Semuanya berjubah, berserban dan bertudung labuh. Isy, meluat sungguh!

 

Di jalan-jalan raya suasana hidup. Masyarakat meriah dengan salam dan senyuman. Tapi baginya, semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek.

Kenapa jadi begini? Mengapa? Mengapa orang kolot ini mempunyai teknologi sebegini tinggi?

 

Dia tiba-tiba menjerit. Gumpalan-gumpalan geram yang berpintal-pintal dalam dadanya sejak tadi meledak. Dia meraung:

Ahhhhhhhhhhhhhhhhhhh…!

 

Tekanan dalam jiwanya yang tersumbat itu terus meletus.

Ahhhhhhhhhhhhhhhhhh…!

 

“Datuk! Datuk! Bangun, Datuk. Bangun, Datuk. Ada berita buruk!”

Dia bangun. Bermimpi rupanya. Tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihan raya siang tadi.

 

“Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah?” Dia bertanya kepada setiausaha politiknya.

 

“Tidak, Datuk. Rakyat bangun memprotes! Semua keputusan pilihan raya dibatalkan. Semua undi rosak. Rakyat protes secara besar-besaran. Rakyat tak mahu demokrasi lagi. Mereka tak mahu pilihan raya.”

 

“Habis, apa mereka mahu?”

 

“Mereka mahu Islam, Datuk. Mereka mahu sistem khalifah!”

 

“Islam? Sistem khalifah? Islam macam Darul Taqwa?” bentaknya. Matanya digosok-gosok lagi.

 

“Darul Taqwa? Apa tu, Datuk?” tanya setiausahanya.

Dia tergamam. Ini bukan mimpi dalam mimpi. Ini realiti dalam mimpi.

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172