Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

GURU PENULISAN KU YANG PERTAMA

$
0
0

kerja-keras-300x204“Siapa guru pertama penulisan ustaz?” tanya seorang siswa sewaktu kami berbual secara santai usai sebuah program tentang penulisan.

Aku terdiam. Satu soalan yang mudah, tetapi tidak semudah itu menjawabnya. Setelah agak lama termenung, aku pun menjawab, “ayah saya.”

“Wah, ayah ustaz pun seorang penulis!”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menafikan.

“Seorang ulama!”

Aku menggeleng lagi.

“Tidak, tidak. Ayah saya seorang buta huruf. Seorang buruh,” jawab ku perlahan.

“Betul ni ustaz? Pelik. Macam mana boleh begitu, boleh kongsikan dengan saya?” pintanya.

Aku bertanya semula, “betul-betul anak nak tahu?”

Dia mengangguk. Kelihatannya, bersungguh-sungguh.

“Tolong ceritakan ustaz, saya nak jadi penulis macam ustaz.”

“Jangan jadi macam saya. Jadi penulis yang lebih baik. Saya hanya pendakwah biasa,” ujar ku.

“Tolong ceritakan ustaz…”

“Baiklah, saya harap anak sabar mendengarnya…”

Lalu aku pun bercerita:

Ayah ku seorang buruh pengutip dan penyapu sampah. Dia tidak tahu menulis dan membaca. Kehidupan ayah sangat susah sejak kecil lagi. Bayangkan, ayahnya meninggal dunia sewaktu dia dalam kandungan lagi. Ayah menjadi petani sejak berumur 6 tahun. Pada usia 10 tahun dia merantau sehelai sepinggang dari tanah seberang. Datang membawa diri ke Tanah Melayu untuk mencari rezeki. Tanpa harta, tanpa pelajaran.

Di Malaysia, ayah membuat bermacam-macam kerja. Dari tukang kebun, pemandu kereta dan akhirnya menjadi seorang buruh. Kehidupan ayah dilingkungi oleh marhein dari pelbagai bangsa, India, Cina, Serani dan sebagainya. Bahasa dan tingkah laku ayah jadi kasar, sekasar tangan dan kulitnya. Itu semua impak pergaulannya dengan golongan bawahan yang tidak berharta dan berpelajaran.

Namun, suatu yang pasti (yang sejak kecil sudah ku perhatikan), ayah sangat cintakan ilmu. Dia seakan tidak sabar menunggu aku (anak lelaki sulungnya) mampu membaca. Tetapi apakan daya, kemiskinan menyebabkan aku tidak dihantar ke sekolah Tadika. Pada akhir tahun 60’an, ibu-bapa yang berwang sahaja mampu menghantar anaknya belajar ke sekolah Tadika sebagai persediaan ke sekolah rendah.

Namun, masuk sahaja aku ke darjah satu, ayah mula membawa helaian surat khabar lama yang dipungutnya sewaktu bekerja untuk ku baca di rumah.

“Baca!” katanya.

Aku pun membaca merangkak-rangkak. Walaupun pada mulanya terkial-kial, tetapi itulah yang dibanggakan ayah kepada rakan-rakan sekerjanya.

“Anak aku sudah pandai membaca surat khabar,” katanya.

Aku masih ingat, satu hari ayah membawa aku ke sebuah kedai Cina di pekan berhampiran. Urus niaga itu memerlukan tanda tangan. Lalu ayah berkata kepada ku, “kamu tanda tangan!” Itulah tanda tanganku yang pertama dalam hidup. Huruf ‘P’ yang dilengkarkan separuh bulatan. Maklumlah baru darjah satu.

“Tengok, anak gua pandai sain,” kata ayah kepada tauke kedai Cina itu. Aku lihat tauke itu mengangguk-angguk, ya tak ya, sahaja.

Selain itu, ada lagi yang ayah minat. Dia paling suka siaran berita daripada radio. Malangnya, kami tidak punya radio. Jadi, setiap kali siaran berita ke udara, ayah akan membawa aku mendengarnya di rumah jiran sebelah. Kami hanya menumpang duduk di tepi tangga dan ayah minta jiran kami meninggikan kadar suara radio untuk kami tumpang mendengarnya.

“Dengar berita, kita tahu tentang dunia,” kata ayah.

Pernah satu ketika aku memberanikan diri bertanya, “ayah, kenapa ayah tak sekolah?”

“Nak sekolah apa, nak cari makan pun susah.”

Aku diam.

Ayah paling minat dengan buku-buku teks sekolah ku. Pelajaran Bahasa Melayu pada waktu itu punya buku khas yang penuh dengan cerita-cerita teladan. Begitu juga dengan buku bacaan Jawi, penuh dengan kisah-kisah nabi. Maka setiap malamlah aku akan membacakannya untuk ayah. Cerita yang paling ayah sukai ialah kisah Nabi Musa AS hendak melihat wajah Allah dan panglima Islam Nu’man bin Muqarrin yang syahid di tangan tentera Parsi. Ya, aku masih ingat. Selalunya, dua bab itu ayah minta aku membacanya berulang-ulang kali.

Tidak hairanlah, jika buku-buku teks sekolah rendah itu telah habis ku baca walaupun sebelum tamat tahun tersebut. Kemudian ayah minta aku pinjam buku di perpustakaan sekolah. Macam-macam buku telah ku pinjam. Dari buku cerita klasik seperti Sang Kancil, Sang Kelembai, Mengelilingi Dunia Dalam Masa 80 hari, Buaya Mati Dua Kali, Hercules (sekadar menyebut beberapa tajuk), sehinggalah buku karangan Marah Rusli, Boestamam, Hamka dan lain-lain.

Di sekolah, hampir tidak pernah aku diberi wang belanja. Jadi, sebaik sahaja loceng rehat berbunyi aku akan segera ke bilik air, minum dua tiga teguk air sejuk dari paip dan terus ke perpustakaan kecil di tepi bilik guru. Aku selalunya yang paling awal. Jadi aku dapat memilih buku yang baik-baik untuk dipinjam, untuk dibaca bersama ayah.

“Tangan kamu kurus, kecil… mana boleh pegang cangkul. Mesti pegang pen,” kata ayah. Jadi, aku jarang diajak membuat kerja-kerja berat. Semasa kecil aku selalu sakit-sakit. Tetapi ayah selalu mengajak aku membonceng naik basikal ke tempat kerjanya. Kerja ayah memang berat. Membersih, mengumpul dan membuang sampah. Dalam perjalanan pulang, baru ayah menyampaikan mesejnya, “tengok kerja ayah, kotor, berat dan orang pandang rendah. Kamu jangan jadi macam ayah. Cari ilmu!”

Aku masih ingat, ketika aku meminta ayah berikan raket badminton. Maklumlah ketika itu badminton menjadi sukan yang popular di Malaysia. Wira badminton seperti Rudi Hartono, Punch Gunalan, Tan Aik Huang dan lain-lain menjadi pujaan kanak-kanak dan remaja ketika itu. Anak-anak jiran sebelah rumah sudah mendapat raket masing-masing.

Sebagai kanak-kanak, aku kecewa. Ayah terus membawa helaian surat khabar dan buku-buku yang ditemui di tempat sampah apabila pulang ke rumah. Aku ingin raket, jerit aku dalam hati.

“Ayah tak da duit!” jerkah ayah apabila aku mengulang permintaan untuk mendapatkan raket. Aku masih ingat detik sedih itu, sambil membaca buku untuk ayah pada petang itu, aku menangis. Aku sudah merasa malu ‘mengendeng’ untuk meminjam raket kawan-kawan.

Minggu demi minggu berlalu. Aku tidak ingat lagi tentang raket idaman hati. Hati kanak-kanak mudah melupakan. Apabila kawan-kawan bermain badminton, aku menawar diri untuk jadi pengadil. Kadangkala kalau mereka keletihan, mereka memberi pinjam raket tanpa aku memintanya. Tidak aku sangka sama sekali, pada satu tengah hari itu ayah pulang kerja dengan raket baru!

Gembiranya aku. Aku melompat memeluk ayah. Walaupun raket itu hanya raket kayu dan murah hanrganya (berbanding raket besi yang lebih mahal kepunyaan kawan-kawan) tetapi aku sangat sukakannya. Ada kawan yang mencemik dengan raket ‘Made in China’ yang berjenama ‘Pioneer’ itu. Tapi aku masih ingat pesan ayah, “yang penting pandai bermain bukan raket yang mahal…”

Ayah mengajar aku tentang kekuatan kemahuan. Apabila keputusan peperiksaan aku merosot sedikit sahaja, ayah akan menghukum aku dengan keras. Ayah tidak pandai berdiplomasi dan memberi motivasi secara lembut. Itu, kadangkala membuat aku hampir ‘patah’. Mujur ada emak tempat aku mengadu. Apabila aku sedih mulalah emak mengajar aku beberapa kalimah Arab – makan, minum, tidur dan sebagainya. Tergeliat lidah aku menyebutnya. Kemudian emak akan bercerita. Kami pun ketawa!

Watak emak yang lembut dan ayah yang keras mencorak warna yang pelbagai dan kontras dalam diri aku. Mudah simpati, marah, sedih, empati, keras, berang, berani, mengalah, degil,  adalah warna-warni unik yang membentuk zaman kanak-kanak dan remaja aku. Mujur, dengan ilmu dan tarbiah yang aku terima kemudiannya (sama ada secara resmi atau tidak resmi) dapatlah sedikit sebanyak aku membentuk diri ke arah yang lebih stabil. Ku akui proses mendidik diri itu terus berjalan hingga kini, walaupun usia diri telah melampaui separuh abad.

Seingat ku, pernah sekali sahaja ayah membeli buku cerita untuk ku. Itu pun ketika tangan ku patah dan terpaksa dirawat di wad hospital. Ayah sangat sedih. Aku tahu ayah sangat sayangkan aku walaupun akulah anak yang paling banyak dimarah dan dihukum. Sedar sahaja daripada dibius, aku sangat gembira kerana di sebelah bantal ku ada buku cerita berwarna warni. Cerita Tarzan!

Namun, kegembiraan ku sebentar cuma. Buku cerita itu dalam bahasa Inggeris. Ayah tidak dapat membezakan tulisan Inggeris dengan tulian Melayu. Maka merangkak-rangkaklah aku membacanya. Seingat aku waktu itu aku masih di darjah tiga. Namun melihat lukisan hutan, pokok-pokok, gunung ganang, harimau, singa, yang menjadi latar belakang cerita Tarzan itu aku jadi sangat terhibur. Ya, aku sangat sukakan hutan dan binatang.

Nostalgia itulah yang ku imbau semula ketika diminta oleh Editor Buku ‘Di mana DIA di hatiku’ menulis sedikit sebanyak tentang profil diri di muka belakang buku tersebut.  Aku menulis begini:

“Sejak kecil saya dididik secara keras oleh ayah memandang dia seorang yang buta huruf. Saya juga dilatih oleh ayah untuk bekerja dengan ‘akal’ dan ‘pena’. Sekali skala diajak mencangkul. Paling kerap, saya dibawa menjala dan menangkap ikan di sungai berhampiran kampung. Saya sangat enjoy kalau dilepaskan di hutan – melihat pokok menghijau dan burung berterbangan. Itu sentiasa menjadi mimpi indah saya sehinggalah kini.”

Ya, apabila menoleh semula ke belakang, tanpa disedari rupa-rupanya Allah mentakdirkan aku menjadi seorang penulis menerusi tangan seorang hambanya yang tidak pandai menulis – bapa ku! Kecintaan terhadap buku dan sikap suka membaca, kepekaan tentang alam dan haiwan, dan kepelbagaian sikap dan sifat ayah, itulah yang menjadikan aku seorang penulis.  Tentu sahaja dia bukan manusia terbaik, tetapi aku yakin,  dialah ayah terbaik kurnian Allah buat diri ku.

Kekerasannya, mengajar aku erti tidak berputus asa apabila manuskrip buku-buku ku pernah ditolak berkali-kali oleh pelbagai penerbit.Kemarahannya, menjadi sumbu kemarahan jiwa ini ketika berdepan dengan pelbagai penzaliman dan kemungkaran yang menjadi sasaran tulisan. Kemiskinan dan ketegaran ayah, menjadi semangat untuk aku terus menulis walaupun berbulan-bulan sewa rumah ku pernah tidak berbayar.

Namun, kasih sayangnya jugalah menyebab air mata ini mengalir deras sederas tinta yang mengalir, apabila aku menulis memohon hidayah untuk terus tabah di jalan mujahadah demi keselamatan diri dan ummah.

Demikian. Cerita ku tentang ayah.

“Nak kau masih mendengar?” tanya ku pada siswa tadi.

Dia merenung wajahku. Aku pula merenung jauh…

Ayah telah pergi namun semangatnya masih di sini. Muga dizinkan Allah, jika ada, pada kebaikan yang lahir daripada setiap guris tulisanku… mengalir juga sebagai sungai keampunan dan sumur pahalanya di Mahsyar nanti.  Terima kasih ayah… kau guru penulisanku yang pertama!

 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172