Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

SIKAYA YANG ‘DIMISKINKAN’ OLEH HARTANYA

$
0
0

67306_tampilan_rumah_bill_gates_dari_danau_washington_300_225Percaya tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita  seolah-olah rasa bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya, tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita menjadi semakin besar dan  bertambah.

Akhirnya duit yang bertambah menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak keinginan! Itulah akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita.

Diri kita akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Tidak salah memburu harta… burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan matlamat.

Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan akhirat.

Dalam pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik… mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. Ironinya, sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’  di rumahnya yang lapang, akibat jiwanya yang  terhimpit. Namun, lihat  betapa ada simiskin yang begitu ceria melayan kita. Rumahnya sempit tetapi ahli keluarganya mempunyai hati yang lapang. Dengan penuh senyuman, kemesraan dan kasih sayang yang sudah serasi dengan jiwanya itulah dia melayan kita. Dia tidak mengajak orang kagum dengan rumah besar yang tidak dimilikinya, tetapi sebaliknya dia ‘membesarkan’ jiwa   dan hati tetamu yang sedang diraikannya. Di rumah yang kecil, terasa luas apabila penghuninya punya ketenangan.

Jiwa kita akan disapa ketenangan oleh tuan rumah yang punya ketenangan. Dia mungkin tidak punya harta, tetapi kaya ilmu dan akhlak. Sikapnya yang sangat suka memberi menyebabkan kita terhibur. Dia memberi senyuman, nasihat, doa dan kata-kata yang mesra. Sungguh, yang baik akan sentiasa kelihatan cantik!

Betapa kita pernah mendengar keluhan, dulu tangan-tangan sering berjabat salam, solat berjemaah dan zikrullah sentiasa bergetar di dalam rumah yang sederhana tetapi apabila rumah bertambah luas, harta bertambah, perabot sudah bertukar dengan yang mahal-mahal… solat jemaah, bacaan Al Quran dan jabat salam yang dulunya menjadi basahan, kini sudah semakin kurang kedengaran dan segala-galanya menjadi semakin tawar dan longgar. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahaya kaya hati alah kaya sebenar, bukan kaya harta.

Orang yang memiliki hati yang begitu, cukup dengan yang sedikit, pemurah dengan yang banyak. Para sahabat Rasulullah ada yang dipuji kemurahan hatinya walaupun miskin hartanya. Sehingga apabila tetamu datang, dikecilkan cahaya lampu rumahnya agar tetamu dapat makan dengan secukupnya sedangkan dia dan ahli keluarga pura-pura sama memakan makanan yang sedikit itu di dalam cahaya yang samar-samar. Sebaliknya sikaya yang kaya harta tetapi miskin jiwa itu sentiasa rasa tidak puas sehingga tega menindas.

Hartanya sudah lebih dari cukup, tetapi dia terus memeras keringat orang lain untuk menjadi lebih kaya. Jika dia memberi, dia memberi dengan muslihat untuk mendapat lebih banyak. Kalau dulu dia punya masa untuk sahabat dan saudara, tetapi kini dia diburu kesibukan yang tidak sudah-sudah… Dulu harta yang cukup, sekarang hartanya tidak cukup-cukup. Tanpa sedar, sikaya yang sedemikian sedang menyusuri jalan Qarun. Jika Qarun ditenggelamkan dalam Laut Mati… tetapi pengikut-pengikut Qarun akan ditenggelamkan dalam hati yang mati.

Hati yang mati sentiasa diburu kesedihan dan ketakutan. Sedih kerana ditinggalkan saudara, sahabat malah oleh anak-anak dan isteri sendiri. Apa tidaknya, siapa yang suka berdamping dengan orang yang sentiasa sibuk, fikirannya sentiasa di tempat lain dan jiwanya yang sentiasa bimbang dan gelisah? Dunia moden menamakan mereka orang yang produktif, tetapi hakikatnya mereka orang yang sakit! Sungguh, alangkah azabnya punya hati yang sedemikian. Hati yang hilang rasa ingin membantu orang lain, hati yang sukar untuk empati kepada kesusahan orang sekeliling, hati yang sudah hilang nikmat persaudaraan dan persahabatan.

Orang yang cuba menukar kualiti jiwa dengan kuantiti harta pasti menderita. Dari Anas bin Malik r.a diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda:” Anak Adam yang telah pikun (nyanyuk) dan masih menginginkan dua hal; menginginkan harta dan menginginkan panjang usia.” (riwayat Muslim).

Lihat diri kita dan lihat manusia di sekeliling kita… betapa ramai sahabat, saudara, pemimpin, ahli agama dan ahli keluarga malah diri kita sendiri yang telah berubah apabila harta dan wang semakin bertambah. Marilah kita ingatkan kepada mereka dan kita yang sudah lupa, keinginan terhadap harta adalah dahaga yang tidak pernah sirna!



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172