Amat besar bezanya antara ungkapan, “aku cinta kamu kerana memerlukan mu” dengan “aku perlukan kamu kerana aku mencintai mu.” Ungkapan kedua lebih murni dan suci sifatnya. Itulah cinta yang ikhlas.
Begitulah sewajarnya cinta kita kepada Allah. Kita mesti memerlukan Allah kerana kita memang mencintaiNya. Jangan kita mencintaiNya hanya pada ketika-ketika kita memerlukanNya. Itu cinta yang palsu. Cinta yang berfokus pada kepentingan diri bukan kepada Allah, zat yang mesti kita cintai.
Berapa ramai manusia yang ketika dilanda masalah, susah, gagal, terhimpit, sakit dan miskin, merayu dan merintih kepada Allah. Ketika susah dia memperkemaskan ibadah dan akhlaknya. Panjang doa dan solatnya. Namun sebaik sahaja masalahnya selesai, apa yang dihajati telah tercapai, dia kembali lalai, kufur dan derhaka. Tuhan diperlukan hanya pada waktu-waktu terdesak sahaja. Apabila senang Tuhan kembali dipinggirkan dan dilupakan. Apakah ini yang dikatakan cinta?
Ibadah orang yang mencintai Allah hanya ketika sedang terdesak sangat rapuh. Apabila Allah memberi apa yang dipohonnya, dia alpa. Sebaiknya, jika yang dimintanya tidak kunjung tiba dia jadi kecewa, marah dan putus asa. Mengapa Tuhan tidak memperkenankan doa ku? Mengapa setelah lama aku berbuat baik keadaan ku masih begini? Dia seakan mendesak, bahkan memaksa dan mengugut Tuhan dalam ibadat dan munajatnya. Luntur dan gugur segala sifat kehambaannya semasa meminta. Hakikatnya dia adalah peminta yang ego.
Allah berfirman: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi bakhil. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah, dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (Al Ma’arij: 19-21). Jangan, jangan begitu. Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini sewaktu senang, “Barang siapa yang ingin ditolong Allah saat tertimpa malapetaka dan kesempitan, maka perbanyakanlah berdoa di saat lapang (senang).” (HR Tirmidzi) . Ingatlah pesan Rasulullah SAW ini ketika susah, “”Ya Allah! Sungguh aku berlindung kepadaMu dari kesempitan dunia dan kesempitan hari kiamat.” (Abu Daud) ” Justeru, jika benar cintakan Allah, ingatlah Dia dalam senang dan susah.
Jangan samakan keperluan kita kepada Tuhan dengan ‘lampu Aladin’. Digosok dan didakap hanya apabila diperlukan. Kita beribadah, bukan kerana-kerana yang lain tetapi semata-mata kerana mengharap wajah Allah. Kita mencinta Allah kerana kita memang mencintaiNya, bukan kerana mencintai diri kita. Lalu Allah akan sentiasa di hati kita, sewaktu senang dan susah, sewaktu sempit dan lapang, sewaktu di atas atau di bawah. Inilah cinta tanpa syarat.
Itulah cinta sejati. Cinta yang menafikan kepentingan dan keperluan diri demi yang dicintai. Mereka tidak sekali-kali tega untuk ‘menduakan’ cinta dengan selainnya. Tidak ada syirik dalam akidah dan ibadah, kerana dalam hati mereka yang satu hanya ada cinta yang satu (Allah). Cinta orang mukmin hanya untuk Allah. Itu bukan cinta biasa, tetapi cinta luar biasa kerana terlalu cinta. Firman Allah:” Dan orang mukmin itu tersangat cinta kepada Allah.” (Al Baqarah 165).
Dalam hati itu mana mungkin ada riyak dan suma’ah? Puji dan keji manusia tidak menjejaskan hati. Mereka bebas daripada kongkongan dunia luaran. Mereka bebas daripada belenggu ‘tuhan-tuhan kecil’ (kepentingan duniawi dan penghargaan manusia) untuk mengabdikan diri sepenuh dan seluruhnya kepada Allah.
Masalah manusia dari dahulu sehingga sekarang bukan kerana tidak ada Tuhan tetapi kerana terlalu banyak ‘Tuhan’. Terlalu banyak ‘Tuhan’ menyebabkan kita keliru dan buntu dalam hidup. Kita sukar membuat pilihan dan keputusan yang tepat dan cepat kerana terlalu banyak yang kita pertimbangkan. Sebaliknya, ikhlas itu bebas. Jika hati tulus, jalan hidup akan lurus. Hati tidak akan mudah terganggu oleh kerenah manusia. Itulah hati yang bahagia. Dalam hati itu sentiasa ada bisikan, “Ya Allah, aku memerlukan mu kerana aku mencintai mu!”