Tawakal adalah sifat terpuji yang tertinggi. Ia adalah ibadah hati. Tawakal itu dirasai. Zahirnya tidak kelihatan tetapi kesannya sangat besar dalam kehidupan. Mengapa? Ini kerana hanya dengan bertawakal kita boleh menjadi hamba Allah yang sebenar. Jika tidak kita akan sentiasa terhalang, malah terhijab terus daripada menjadi akrab dengan Allah. Halangan terbesar seseorang menuju Allah ialah kekhuatiran, kebimbangan, kesibukan kesukarannya mencari rezeki. Hati dan fizikal menjadi letih dalam mencari, menjaga dan menambah rezeki. Namun dengan tawakal, segala keletihan itu akan dapat diatasi.
Apabila kita bertawakal ertinya kita mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain. Dalam konteks ini, ‘pihak lain’ itu ialah Allah. Insya-Allah, apabila kita menyerah urusan kepada Allah hati kita akan teguh dan kukuh, tidak goncang dan goyah lagi. Ini kerana kita yakin ‘wakil’ kita itu ialah zat yang Maha Gagah, Maha kaya, dan Maha sempurna. Keyakinan itulah yang membuahkan ketenangan.
Justeru, menurut Abu Zakaria Ansari, tawakal itu ialah “Keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain.” Bayangkan apabila seseorang Muslim dengan sepenuh hati berserah diri kepada Keagungan dan Kekuasaan Allah dalam berusaha sambil menunggu hasilnya dengan penuh sangka baik kepada Tuhannya.
Insya-Allah, seorang yang bertawakal akan mendapat sekurang-kurangan manfaat-manfaat berikut:
1) Ketenangan hati.
Orang yang bertawakal akan merasakan ketenangan memenuhi hatinya, yakin, mantap, optimis dan reda. Ketenangan inilah yang dirasakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika berada dalam gua. Ketika Sayidina Abu Bakar khuatir dengan keselamatan baginda, Nabi Muhammad SAW telah bersabda kepadanya “janganlah bersedih, kerana sesungguhnya Allah berserta kita. ”
Ketenangan inilah juga yang dirasai oleh Nabi Ibrahim ketika dilemparkan ke dalam api yang menyala-nyala. Baginda tidak endahkan pertanyaan manusia mahupun malaikat apabila berkata, “ Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung. ”
2) Kekuatan jiwa.
Bukan sahaja tenang, orang yang bertawakal juga akan mendapat kekuatan jiwa. Fitrah manusia, akan merasa kuat apabila ada sandaran atau ‘back up’ daripada pihak yang kuat. Orang yang bertawakal merasa kuat berdepan dengan musuh yang ramai kerana merasakan Allah akan membantu mereka.
Inilah rahsia dalam medan Badar, apabila 313 tentera Badar mampu mengalahkan musuh yang lebih ramai. Firman Allah: Ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabb (Tuhan)-mu, lalu dikabulkan-Nya bagimu, “Sesungguhnya Aku (Allah SWT) akan mendatangkan bantuan kepadamu seribu malaikat yang datang bersambungan.” Dan tidaklah hal itu dijadikan oleh Allah untukmu kecuali sebagai berita gembira dan untuk menenteramkan hatimu. Dan tiada lain kemenangan itu kecuali datang dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha bijaksana. (Al Anfal: 9-10)
4) Diri yang reda
Apabila bertawakal, hati akan reda, pasrah dan menyerah atas segala ketentuan Allah sekalipun apa yang berlaku bertentangan dengan apa yang kita inginkan. Jiwa merasakan apa yang berlaku semuanya baik-baik belaka. Tidak ada ruang untuk kecewa, marah dan putus asa. Semua ini impak daripada sangka baik kepada Allah yang tidak akan menyusahkan apalagi menzalimi hambanya.
Orang bertawakal akan terpujuk oleh firman Allah ini: ““Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak Mengetahui.” (Al-Baqarah: 216). Justeru, ada ulama berkata, ”Selagi aku reda Kepada Allah sebagai pelindung, maka aku akan sentiasa mendapat jalan untuk setiap kebaikan. ”.
5) Harapan yang segar.
Orang yang bertawakal tidak akan putus harapan. Harapannya sentiasa segar dan tinggi sekalipun ketika dihenyak oleh ujian yang paling menggentarkan. Allah tidak akan mengecewakan ku, begitulah detik hati orang yang berserah nasibnya kepada Allah. Sentiasa ada ‘talian hayat’ dalam bentuk doa, solat dan sabar ketika diuji. Sekalipun, seluruh manusia telah berpaling, namun mereka yakin Allah tetap tidak berpaling kepada hambaNya yang bertawakal.
Bahkan semakin cemas dan beratnya ujian yang melanda, semakin dekat mereka rasakan bantuan Allah akan tiba. Firman Allah: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (ketahuilah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” ( Al Baqarah: 186)