Puji dan puja kepada Allah SWT, Tuhan Pemilik kata-kata yang benar, indah dan tersusun.
Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad SAW yang apabila berkata-kata bukan dari nafsu tetapi segala-galanya berpandukan wahyu. Lalu, kata-katanya sentiasa singkat dan tepat.
Buku kecil ini saya tulis dengan satu kesadaran bahawa untaian kata-kata ada kalanya sangat menggugah jiwa.Jika tepat masa dan maknanya, ia adalah penawar yang sangat mujarab untuk hati yang lelah. Hati yang mengamuk terpujuk menjadi sejuk.
Terbayang kembali segala ilmu dan didikan yang pernah didengar, dipelajari dan dialami. Akhirnya ujian itu dapat dihadapi dengan baik.
Itulah pengalaman saya setelah separuh abad melalui hidup ini. Pernah saya takut dengan perpisahan, lalu datang satu ungkapan memberi kekuatan. Ungkapan indah pada saat saya diuji itu ialah, “berpisah tidak gelisah, bertemu tidak jemu, jika cintamu kerana Allah!” Ketika terasa peritnya bermujahadah, singgah kata-kata ini yang sehingga kini menjadi pegangan, “mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.” Ketika terlalu sukar memaafkan, lahir bisikan kata di hati ini, “memaafkan orang lain seperti memaafkan diri mu sendiri.”
Sungguh, saya telah, sedang dan akan (insyaAllah), mendapat kekuatan daripada kata-kata yang sarat dengan kebenaran dan keindahan. Kata-kata itu terus tersimpan dalam ingatan, tercatat di dalam buku catatan lalu saya buka kembali apabila saat-saat saya diuji. Oleh sebab itu saya nukilkan (untuk diri dan orang lain juga):
“Kata-kata yang indah mengubat rasa yang gundah.
Kata-kata yang benar membuat fikiran menjadi lebih besar.
Bila keindahan dan kebenaran bergabung, kata-kata akan menjadi kuasa yang mampu mengubah jiwa!”
Mudah-mudahan hakikat inilah yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Yusuf telah mengabarkan kepada kami Malik dari Zaid bin Aslam dari Abdullah bin Umar RA bahwa dua orang dari penduduk Masyriq datang kepadanya, lalu keduanya berkhutbah hingga orang-orang hairan dengan penjelasannya, lantas Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam penjelasan (bayan) itu mengandung sihir, atau sesungguhnya sebahagian bayan (penjelasan) itu mengandung sihir.” (Sahih Bukhari)
Ini merupakan satu metafora untuk menggambarkan betapa kuatnya pengaruh kata-kata (pengucapan yang indah dan benar) kepada diri seseorang manusia. Kata-kata mempunyai ‘rohnya’ yang tersendiri. Jika lahir dari hati, insyaAllah akan jatuh ke hati jua. Ia mempunyai kuasa merubah apa yang dirasa oleh hati dan yang difikirkan oleh akal.
Fikiran yang berkeladak boleh menjadi jernih apabila menerima kata-kata yang memberi panduan dan pengajaran. Gerak yang lesu, kembali laju apabila mendengar kata-kata yang bersemangat. Hati yang membara menjadi lega apabila dipujuk oleh kata-kata sedingin salju. Lurus kata-kata itu adalah bayangan tulusnya jiwa.
Justeru, iman dan kata-kata yang baik sentiasa sinonim. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya, Rasulullah bermaksud : “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”
Walau bagaimana pun, madah, ungkapan atau apa sahaja gubahan kata-kata tidak akan dapat menyaingi apatah lagi menandingi kebenaran dan keindahan Al Quran dan hadis Rasulullah SAW. Malah kata-kata yang benar dan indah itu, jika ditelusuri pasti susur galurnya berpunca dari kedua sumber itu jua. “Hidup adalah untuk diuji,” kata ahli Hikmah sebenarnya hanya mengulangi apa yang telah ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya:” Dijadikan mati dan hidup untuk kamu untuk diuji siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk: 1
Diceritakan para imam dan ulama yang begitu arif tentang Al Quran dan Sunah itu pun turut menghasilkan syair dan madah. Bukan menafikan keunggulan firman dan sabda, namun siapakah yang dapat menahan gejolak rasa yang akhirnya meletuskan kata-kata. Melalui pengalamannya berdepan dengan kerenah manusia misalnya, Imam Safie RHM pernah bermadah: “Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”.
Saya bukanlah individu yang hebat seperti para Syeikh, ulama dan guru, namun saya hanya seorang daie yang ingin mengikut jejak langkah mereka. Tidak berdaya menapak, saya cuma upaya merangkak. Lalu terhasillah buku ini: Seraut Kata, Selaut Rasa. Satu tulisan kecil yang bercita-cita besar untuk membawa diri sendiri dan masyarakat agar lebih hampir kepada Allah – sumber segala ketenangan, kebahagiaan dan kejayaan.
Walaupun harapan saya begitu menggunung untuk memberi kebaikan dan ketenangan, namun pasti ada kesalahan dan kekurangan dalam 313 ungkapan kata-kata ini. Apabila anda saya menemui kesalahan dan kekurangan itu nanti, renungilah kata-kata daripada Saidina Umar r.a ini: ”Janganlah sesekali kamu membuat andaian yang tidak baik terhadap kata-kata yang keluar dari mulut saudara kamu, sedangkan kamu mempunyai jalan untuk menjadikan kata-kata tersebut difahami secara baik.”