Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

ANDAINYA HARTAWAN ITU TAHU…

$
0
0

Untuk memberi, kita mesti memiliki dan untuk memiliki kita mesti mencari. Mencari, memiliki dan memberi – adalah tiga jalan untuk mendapat kecintaan Allah dengan memberikan kasih sayang sesama manusia.

Namun, itu mudah dari segi ilmunya… apabila tiba pada tahap melaksanakannya, kita pasti teruji. Kerana mencari, memiliki dan memberi sering terusik ketertibannya.

Sering kita dituntut untuk memberi sebelum memiliki. Adakalanya, baru berusaha… sudah ditagih oleh yang meminta. 

Tahun 1434 H dan menjelang 2013, akan saya usahakan untuk mencari sebanyak-banyaknya supaya dapat memberi sebanyak-banyaknya juga. Saya menjadi serba-salah, untuk ‘tawar-menawar’ apabila diminta untuk memberi kuliah atau ceramah… Niat hati untuk menyampaikan secara percuma belum kesampaian. Bayangkan, dengan cabaran dan hambatan mengurus keluarga dengan keterbatasan masa dan tenaga, kekadang memberi kepada masyarakat terdesak oleh keutamaan memberi kepada keluarga. Bukan untuk bermewah-mewah, cuma ditahap memenuhi keperluan dan kemudahan.

InsyaAllah, mudah-mudahan saya dapat menulis sebanyak-banyaknya dan hasil daripadanya saya tidak payah lagi mengenakan sebarang ‘imbuhan’ untuk berceramah dan berkuliah. Kerana pada saya apa yang paling kita cari dalam hidup ini ialah HATI EMAS… itulah hati yang ikhlas. Hati yang merasakan hidayah Allah itu lebih berharga dari segalanya. Hidayah milik Allah, namun alangkah indahnya jika hidayah itu dilalukan Allah melalui diri kita sebelum sampai kepada orang lain. Seperti yang sering diungkapkan oleh Prof Muhaya, bahagia itu apabila kita membahagiakan!

Namun, ajal maut di tangan Tuhan. Jangan tunggu berharta untuk berjasa. Jangan nanti sampai benar-benar memiliki baru hendak memberi. Bahagia itu pada ketenangan, kejayaan itu pada kebenaran. Sampaikanlah kebenaran untuk mendapat kebahagiaan. Yang sedikit, akan membukit apabila diberi dengan keikhlasan. Yang seraut akan melaut apabila dicari dengan niat untuk memberi. Ya Allah, tidak akan berkurangan orang yang memberi keranaMU. Apa yang aku dan kita semua alami sekarang hanyalah ujian dalam memberi… apakah kita mampu memberi semasa sedang mencari, sebelum benar-benar memiliki!

Jangan tunggu berkuasa untuk berjasa. Jangan tunggu berharta untuk berbakti kepada yang derita. Pada pagi Jumaat ini terimalah bingkisan ini seadanya. Bukan emas gemerlapan… dariku cuma peringatan:

Andainya hartawan itu tahu…. 

Pernah diungkapkan, tidak mengapa jika kaki mu yang sakit, asalkan hati mu sihat. Dengan kaki yang sakit, kita mungkin tidak boleh berjalan. Tetapi dengan hati yang sakit kita akan kehilangan tujuan dan harapan. Betapa ramai, orang yang punyai fizikal yang sihat, tetapi apabila hatinya sakit, hidupnya melarat. Dia menjadi insan yang miskin dalam limpahan kekayaan. Hidup derita walaupun di kelilingi keseronokan.

Allah yang Maha adil tidak meletakkan kebahagiaan kepada rupa, harta, kuasa dan nama. Jika demikian, si miskin, si hodoh, si marhaen dan “kelana tanpa nama” akan terpinggir dalam mencari kebahagiaan. Setiap hambaNya tidak akan terasa dipinggirkan. Allah tidak zalim. Dia meletakkan kebahagiaan pada ketenangan ‘hati emas’ – hati yang mampu dimiliki oleh si miskin atau si kaya, si buruk atau si jelita, hamba atau raja.

Di mana akan kita temui hati emas seperti itu? Hati itu ditempa dan ‘disesah’ oleh mujahadah di jalan Allah. Umpama intan yang dipanaskan oleh haba dengan kepanasan ganda atau emas yang disepuh oleh api yang menyala-nyala, maka begitulah hati manusia. Hanya akan bercahaya oleh siraman keringat, deraian air mata dan aliran darah oleh insan yang bermujahadah di jalanNya.

Juseru, apabila tiba saat diuji – detik perpisahan, kesedihan, kemiskinan, penghinaan, kesepian (namakan apa sahaja), jangan lari, tetapi hadapi. Walau pedih, sedih dan tersisih, jangan mengelak. Tunggu dan hadapi. Terima hakikat, jika hidup sudah terhenyak ke dasar yang paling bawah, jangan berpura-pura lagi. Jangan terus bermuka-muka. Namun, terimalah hakikat supaya mampu bangun kembali dengan cepat!

Bila sudah tiba di dasar paling bawah, kepala yang di julang sudah menjunam ke dalam jurang… tentu sudah tidak ada lagi tempat untuk jatuh. Maka pada ketika itulah peribadi akan naik semula ke atas kerana kita sudah membayar “yuran” pada kejayaan. Kita sudah merasa kepahitan pada ubat yang ditelan.

Saat diuji itulah segala mazmumah akan dimamah. Ego, bangga, rendah diri, kecil hati, kecut, penakut sudah “dibakar” dalam relau mehnah Allah. Dan saat itulah kita layak menerima anugerah. Yakni, bingkisan ijazah daripada “universiti mujahadah”. Tidak ada gelaran, tidak ada sanjungan… hadiahnya hanya: Hati emas!

Memburu selainnya hanya akan mengecewakan. Pergilah setinggi puncak karier, rebutlah setinggi nama, carilah sebanyak harta, tanpa hati emas, kau hanya akan meninggikan tempat jatuh. “Berjaya” tanpa keperibadian yang kukuh hanya mendedahkan diri kepada lebih banyak stres, tekanan dan kebosanan. Betapa ramai jutawan, hartawan, rupawan, bangsawan dan kenamaan dimusnahkan oleh rasa bongkak, obsesi diri, kemurungan dan zina. Naik ke puncak untuk terjun ke dasar yang paling bawah.

Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuh solat lima waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca Al Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam. Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, jika kita enjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!  

Itulah yang sering diungkapkan oleh para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah), “andainya para hartawan tahu betapa lapang dan tenangnya hati apabila bangun malam, nescaya mereka akan meninggalkan seluruh kekayaan mereka untuk mendapat ketenangan itu!

(Adaptasi  bicaraku dalam buku DI MANA DIA DI HATIKU?)



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172