Walaupun sebagai orang luar dan orang kecil saya terpanggil untuk memperkatakan sesuatu mengenai Perhimpunan Agung UMNO. UMNO ingin berubah. Itulah yang dinyatakan sendiri oleh pemimpin-pemimpinnya. Untuk itu, UMNO hendaklah melihat kemerosotan sokongan dalam pilihan raya yang lalu sebagai satu amaran bahawa sokongan terhadapnya adalah ‘bersyarat’. Ia boleh luntur sekiranya parti itu mengabaikan pembinaan kekuatan nilai-nilai teras yang menjadi tunggak jati diri Melayu-Islam seperti amanah, jujur dan lain-lain, juga gagal menyelesaikan masalah kos sara hidup masyarakat bawahan.
Apa yang menimpa parti Kongres di India, Golkar di Indonesia, LDP di Jepun, Koumintang di Taiwan perlu dijadikan iktibar, bahawa walau betapa besar sekalipun jasa sesebuah parti namun ia tetap ditinggalkan oleh rakyat sekiranya gagal memenuhi aspirasi dan tuntutan terkini generasi kemu. Dalam konteks yang sama sejarah UMNO sendiri menunjukkan bahawa ia boleh tergugat bukan kerana ‘kekuatan’ lawannya, tetapi kerana kelemahannya sendiri. UMNO perlu bermuhasabah secara jujur – mengakui kelemahan-kelemahan yang ada dan memulakan langkah terancang untuk menjadi ‘role model’ parti yang integriti dan kompetensi.
UMNO masih punya peluang untuk memimpin bangsa Melayu membina kekuatan dalaman (iman dan perpaduan) dan kekuatan fizikal (ekonomi, politik dan teknologi). Dunia yang semakin global, mendesak manusia menjadi semakin tribal – kesedaran untuk mempertahankan identiti bangsa, negara dan agama masing-masing semakin meningkat. Sikap terlalu ‘asyik’ dengan perancangan menjadi maju tanpa mempedulikan pembinaan semangat patriotik, kasihkan bangsa dan cintakan agama akan hanya meninggikan tempat jatuh. Kebimbangan ini sangat berasas justeru masalah sosial di kalangan remaja, jenayah di kalangan masyarakat bawahan, rasuah di kalangan orang atasan adalah akibat langsung daripada runtuhnya nilai-nilai teras itu.
UMNO mesti memberi tumpuan yang lebih untuk mempertahankan semangat cintakan agama, bangsa dan negara tanpa mengorbankan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan teknologi. Memahami cabaran luaran dan memantapkan kekuatan dalaman adalah satu kewajipan buat UMNO demi meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu dan survival negara dalam era globalisasi. Sikap ‘think global but act local’ (pemikiran bertahap global tetapi bertindak berdasarkan keadaan dan kepentingan bangsa dan negara sendiri) harus ada dalam diri pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
UMNO perlu sedar bahawa orang Melayu-Islam kini inginkan sesuatu yang lebih ‘advance’ selaras dengan perkembangan dan cabaran mutakhir. Bangsa Melayu inginkan pakej ‘2 in 1’ – pembangunan dan kerohanian bersepadu – untuk memelihara nilai teras (agama), jati diri (bangsa) tanpa mengorbankan keselesaan hidup (pembangunan) yang diperlukan oleh setiap manusia. Untuk memenuhi tuntutan ini, UMNO harus bersikap proaktif yakni tidak bertindak semata-mata untuk menyaingi parti pembangkang. Sebaliknya UMNO mesti realistik dalam menilai situasi terkini dan bertindak sesuai dengan kedudukannya sebagai parti pemerintah untuk semua kaum di Malaysia. UMNO tidak perlu cuba menonjolkan sesuatu yang lebih drastik dan agresif agar kelihatan lebih ‘Islam’, lebih ‘racist’ atau lebih ‘humanis’ dari parti politik yang lain.
Apa yang perlu ialah ahli dan pemimpin UMNO mesti membina keperibadian, karektor dan akhlak yang lebih murni berteraskan ajaran Islam; lebih komited membela bangsa dan negara berasaskan sifat amanah; lebih ‘competent’ berkhidmat dengan ilmu dan kepakaran terkini; lebih diplomasi dan toleran menghadapi perbezaan berasaskan semangat perpaduan sejati. Tegasnya UMNO mesti dilihat dan diyakini – to be seen and to be believed – sebagai wadah golongan profesional beragama di Malaysia. Imej Islam yang harus ada pada UMNO adalah bersih, progresif, dinamik, inovatif, konsisten, kreatif dan profesional.
UMNO harus sedar, bahawa tahap penghayatan, kefahaman serta keghairahan golongan menengah Melayu terhadap Islam telah semakin meningkat. Hal ini bukan sahaja perlu diikuti perkembangannya, bahkan UMNO perlu bertindak pro-aktif untuk menyediakan satu model Islam yang lebih komprehensif dan holistik untuk diterima oleh rakyat. Tahap ilmu dan amalan Islam golongan ini yang semakin meningkat memerlukan setiap ahli UMNO lebih-lebih lagi para pemimpinnya turut mempertingkatkan akhlak dan amalan Islam mereka. Selaras dengan misi menerajui Islam progresif dan dinamik UMNO mesti berada setahap tinggi berbanding orang yang hendak mereka pimpin.
Langkah ini bukanlah sesuatu sukar bagi UMNO, sekiranya ahlinya faham sejarah perjuangan UMNO sendiri yang berkait-rapat dengan Islam. Ramai ulama dan pencinta Islam turut berjuang bersama UMNO ketika menghadapi penjajah Inggeris dahulu. Penjajahan Inggeris telah dapat diatasi bukan sahaja oleh semangat nasionalisme Melayu tetapi yang lebih utama oleh roh perjuangan Islam dalam dada ahli-ahli UMNO. Tegasnya, seruan kembali kepada roh perjuangan asal parti yang dilaungkan oleh pemimpin atasan UMNO, mestilah kembali kepada roh penghayatan Islam yang sebenar.
Untuk itu setiap ahli UMNO perlu meletakkan keredhaan Allah dan beribadah kepada-Nya sebagai misi dan tujuan hidup. Parti hakikatnya adalah ‘vehicle’ untuk melaksanakan niat dan tujuan itu. Sebarang konflik di antara perjuangan parti dan perjuangan mencari keredaan Allah mesti dihindarkan dalam diri setiap pejuang UMNO. Golongan agamawan dalam UMNO mesti merangka satu program latihan dan kepimpinan berasaskan Islam yang mana hasil akhirnya setiap diri akan merasakan ujudnya ‘Pemantau’ dalaman yang menjadikan mereka ikhlas, bersih dan amanah dalam perjuangan.
Masalah penyelewengan, perebutan kuasa dan politik wang berlaku akan dapat diatasi sekiranya setiap anggota mantap nilai-nilai iman dan patuh syariahnya. Tegasnya hanya ‘kuasa’ iman dan syariat Islam sahaja yang akan dapat menghalang ahli-ahli UMNO daripada terus bertelagah sesama sendiri hingga mengorbankan amanah untuk berbakti kepada rakyat. Hanya dengan etika dan disiplin lahiriah sahaja tidak memadai untuk menghalang sepenuhnya hal-hal negatif daripada terus berlaku dalam UMNO.
UMNO perlu sedar, bahawa nilai-nilai daripada penghayatan aspek Fardu Ain sangat penting untuk menyerlahkan kegagahan Islam di bidang fardu kifayah. Hanya rasa takut kepada Allah, dalam diri manusia yang boleh membendung sifat tamak, hasad dengki dan lain-lain sifat negatif. UMNO akan bertambah kukuh sekiranya semua ahlinya dapat melihat satu ‘link’ (pertautan) yang serasi dan bersepadu antara perjuangan menegakkan Fardhu Ain dan Fardhu kifayah. Ulama dalam UMNO perlu menjelaskan bahawa amalan Fardhu Ain yang sebenar akan memberi ketulusan, kekuatan dan kebijaksanaan yang tinggi dalam usaha menegakkan fardu Kifayah.
Solat misalnya, walaupun ia adalah amalan fardu Ain tetapi peranannya bukan untuk mendapat pahala sahaja. Tetapi solat adalah mekanisme pembentukan diri yang cemerlang di tiga dimensi – dengan Allah, dengan manusia dan dengan pekerjaannya. Solat bukan sahaja dapat mencegah perbuatan fasya’ dan mungkar, tetapi mampu melahirkan nilai-nilai murni seperti bersih, menepati waktu, berdisiplin, fokus, cergas, amanah, kreatif, dinamik dan lain-lain dalam perhubungan sesama manusia dan juga perkerjaan seseorang. Jumlah bilangan rukun fikli (perbuatan) yang melebihi bilangan rukun qauli (bercakap) dalam solat itu sendiri menggambarkan bahawa umat Islam perlu lebih banyak berbuat daripada bercakap – maksudnya ‘action oriented’!
Begitulah juga puasa, zakat, haji dan sebagainya – walaupun semuanya amalan fardu Ain tetapi ia memberi kesan lansung kepada soal ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain di bidang fardu kifayah. Malah, menifestasi keberkesanan amalan-amalan fardu Ain diukur pada keberkesanan dan kecekapan seseorang Muslim dalam menegakkan amalan fardu kifayah. Bukan itu sahaja, bahkan amalan fardu Ainlah yang memastikan seseorang itu jujur, telus, amanah dan mempunyai lain-lain nilai murni dalam pergaulan dan pekerjaannya. Justeru, jangan dilihat amalan fardu Ain itu terbatas kepada soal personal semata-mata tetapi ia berkait juga dengan soal interpersonal dan keprofesionalan seseorang. Inilah Islam wajah dinamik – yang mensepadukan peranan dan kesan amalan fardu Ain dan fardu kifayah dalam seluruh bidang kehidupan!
Sebab itulah perjuangan Rasulullah saw diasaskan dua peringkat – Makkiyah dan Madaniyah. The consciousness of the Creator’ dan ‘sense of mission’ yang jelas diperingkat Makkah menjadi asas kukuh menegakkan Islam progresif, dinamik dan produktif di peringkat Madaniyah. Jika tidak, kerancakkan membina kemajuan dan pembangunan material akan diganggu oleh keruntuhan nilai-nilai manusiawi sama ada dalam masyrakat atau dalam parti sendiri!
Untuk itu juga, institusi Islam dalam UMNO dan kerajaan juga perlu lebih kreatif, inovatif dan produktif untuk melaksanakan aspirasi Islam sebenar. Individu-individu dalam institusi itu harus sedia dan terbuka untuk berbincang, menegur dan ditegur untuk mendapat pendekatan terbaik mengenengahkan Islam sebagai satu sistem hidup. Institusi-institusi Islam ini perlu membuat satu anjakan paradigma agar matlamat, pendekatan dan budaya kerjanya kelihatan lebih dinamik, kritis dan berdaya saing.
Persepsi buruk sesetengah pihak yang melihat institusi-institusi Islam kerajaan tidak lebih hanyalah sebagai badan ‘propaganda’ UMNO atau tukang angguk (‘yes man’) para pemimpin atasannya perlu diatasi. Ulama-ulama UMNO harus menyumbang idea dan membentangkan pelan tindak yang konkrit agar Islam dijadikan asas, teras dan pendorong bagi menjayakan cita-cita untuk membina kekuatan politik, ekonomi, teknologi dan pertahanan di kalangan negara-negara Islam.
End in Mind yang harus ada dalam program pengukuhan dalaman UMNO dapatlah disimpulkan seperti berikut:
· Menghayati semula roh perjuangan asal UMNO yang sangat berkait dengan ajaran Islam dan adat Melayu.
· Menyuburkan idealisme perjuangan ahli UMNO menerusi pemantapan misi dan visi hidup yang jelas.
· Memperteguh perpaduan sesama anggota UMNO dengan memantapkan rasa persaudaraan berdasarkan Iman dan prinsip parti.
· Membina kesetiaan yang padu kepada pucuk kepimpinan atasan dengan sama-sama merujuk kepada nilai-nilai agama, parti dan negara.
· Meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat melalui program ekonomi khususnya untuk masyarakat bawahan.
· Melaksanakan program dakwah Islamiah yang lebih berkesan, multi-dimensi, praktikal, ‘versetile’ dan kontemporari tanpa terikat dengan pertikaian politik kepada golongan menengah Melayu.
· Mengurangkan sifat materialistik dan budaya tamak di kalangan pemimpin dan ahli di semua peringkat parti dengan menanamkan nilai-nilai kerohanian bersumber ajaran Islam dan adab bangsa yang tinggi.
Inilah beberapa input yang saya kira boleh membantu UMNO memperkukuhkan nilai-nilai dan jati diri pemimpin dan ahlinya, untuk menghadapi ancaman musuh dalaman parti. Hanya apabila musuh dalaman dapat diatasi, barulah UMNO dapat menghadapi musuh dalam negara dan akhirnya menghadapi Barat – musuh dari luar negara. Masih ada rakyat yang melihat UMNO dengan penuh harapan – melihat slogan, ikrar dan janji yang berkobar-kobar. Apakah program pengisian yang telah dan akan diatur? UMNO perlu telus dan serius untuk menyelesaikan program muhasabah dirinya yang belum selesai-selesai. Sanggupkah?