Dalam hidup, lihat dulu apa yang telah kita ada. Syukuri. InsyaAllah, apa yang ada itu akan ditambah oleh Allah. Atau, dengan syukur itu kita akan diberi hati yang tenang. Itulah kekayaan sejati. Mengapa melihat apa yang tiada… lalu hati jadi resah, gelisah dengan sayu. Orang lain kenapa mendapat lebih, sedangkan aku terus-terusan kekurangan? Begitu, gerutu jiwa. Jangan mengenangkan apa yang tidak ada menghilangkan rasa syukur dengan apa yang kita telah ada. Justeru, syukuri apa yang telah ada dan teruslah berusaha untuk memburu apa yang tidak ada. Namun, beringatlah, dalam pemburuan itu, jangan hilang sesuatu yang lebih berharga. Sesuatu yang tidak ada galang gantinya. Ya, betapa ramai yang memburu kekayaan hilang ketenangan. Memburu kesenangan, hilang kesihatan. Mencari harta, membuang saudara.
Aku perlu mengingatkan diri ku sendiri dan diri orang lain juga. Kuantiti harta jangan cuba menggantikan kualiti jiwa. Kerana kualiti jiwa itu jauh lebih berharga. Nilai diri kita yang hakiki terletak pada sesuatu yang tidak akan dapat dibeli oleh wang dan harta. Itulah iman dan persaudaraan. Iman dan persaudaraan itu lazim berlaziman. Bila hilang salah satunya, maka hilang pula yang kedua. Lalu…apabila kesibukan mencari harta, semakin terasa kehilangan saudara, ketahuilah itulah detik yang sangat berbahaya. Renggangnya persaudaraan petanda kurangnya iman. Apa gunanya harta tanpa iman dan persaudaraan? Untuk apa harta itu? Bukankah ia hanya alat untuk memberi ketenangan? Memburu harta tidak salah, tetapi jangan dipinggirkan iman dan persaudaraan dalam pemburuan itu… Nanti, kita bukan lagi memburu harta tetapi kitalah yang diburunya. Waktu itu kitalah yang menjadi mangsa.
Untuk diriku dan dirimu, kutuliskan kesah ini sebagai peringatan: MISKIN DALAM KEKAYAAN
Kita tidak akan mendapat dua perkara pada satu-satu masa. Apabila kita mendapat sesuatu, maka kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Justeru pastikan apa yang kita dapat lebih berharga berbanding apa yang kita hilang. Itulah yang sering dipesankan oleh ahli hikmah. Pesanan tentang kehidupan. Itulah inti permasalahan yang saya bincangkan bersama seorang sahabat lama pada minggu lalu.
Sepi Dalam Kesibukan
Sungguh, dia kelihatan berbeza sekali hari itu. Sinar matanya yang dulu bercahaya kini redup. Pakaiannya walaupun daripada jenama yang mahal agak kusut. Rambut di bahagian hadapan kepalanya kian jarang. Hampir botak. Dia memang kelihatan lebih kaya, tetapi kehilangan gaya.
“Aku sibuk sungguh tiga empat tahun kebelakangan ini. Perniagaan menjadi-jadi. Aku semakin diburu masa,” katanya terus terang.
“Sudah lama kita tidak bertemu,” tingkah saya perlahan.
“Bukan kau seorang sahaja, ramai rakan baik aku yang lain pun tidak dapat aku temui. Sibuk.”
“Kau okey?” tanya saya pendek.
Dia diam. Diam yang panjang.
“Tidak tahulah, okey ke tidak.”
Dengan jawapan itu saya tahu dia keliru. Mungkin terlalu keliru sekarang.
“Mesti okey. Rumah-rumah, kereta-kereta dan harta yang kau kumpul sekarang sudah cukup untuk diwariskan kepada anak-anak,” ujar saya.
“Ikut aku belum lagi. Aku mahu cucu-cucu aku juga menikmati harta peninggalanku. Aku mesti berniaga lebih gigih lagi.”
“Baguslah, kita bekerja atau berniaga seolah-olah akan hidup seribu tahun lagi,” dorong saya.
“Tetapi sejak akhir-akhir ini aku kesepian.”
“Kesepian dalam kesibukan? Mana mungkin.”
“Betul. Aku rasa semakin keseorangan.”
“Bukankah rakan-rakan perniagaan kau banyak? Urusan perniagaan kau pun sering membuka ruang untuk keluar negara. Keseorangan, apa maksudmu?”
“Aku tidak ada rakan-rakan seperti kau. Boleh berbual-bual tentang diri, anak-anak dan lain-lain perkara yang lebih intim sifatnya.”
Saya terus menjadi pendengar. Biar dia meluahkan. Sudah jarang sekali saya bertemu dengannya. Hampir setahun tidak bertemu walaupun jarak rumah kami tidaklah begitu jauh. Dia jarang di rumah. Sering ke luar negara dan berada di luar kawasan mengurus perniagaan.
Dulu Lain, Sekarang Lain
“Tidak mengapa, berbual-bual soal perniagaan pun banyak baiknya. Keuntungan bertambah,” gurau saya.
“Kau lihat aku bagaimana sekarang?” tanyanya tiba-tiba.
“Lihat yang bagaimana?” balas saya.
“Terus terang sahaja. Aku yang sekarang dan aku yang dulu. Ada perbezaannya?”
“Kau yang dulu bukan yang sekarang,” ujar saya masih bergurau.
Dia ketawa. Mungkin teringat lirik lagu nyanyian Tegar.
“Terus terang, bagaimana aku sekarang?”
“Kau lebih kaya. Lebih berjaya. Kau jauh meninggalkan aku daripada segi harta.”
“Bukan itu maksud aku, tetapi soal lain. Ketepikan soal rumah, tanah, kereta dan aset. Aku mahu kau nilai aku sebagai manusia, seorang sahabat, seorang yang seperti kau kenal dulu,” pintanya terus terang.
“Kau berubah.”
Akhirnya saya bersuara. Saya perlu jujur dalam bersahabat. Dia mendesak dan itulah sewajarnya saya luahkan. Sahabat bukan seorang yang hanya berkata yang manis-manis, tetapi sanggup berkata benar walaupun pahit.
“Kau berubah. Wajahmu tidak seceria dulu. Tutur katamu pun semakin kaku. Tidak selunak dulu; lembut, dekat dan mesra. Sekarang kata-katamu agak keras, pendek dan mengarah. Dulu kau banyak memujuk, sentimental dan meraikan. Kini kau semakin formal.”
Dia terkejut. Matanya merenung mata saya dengan tajam. Tersinggung? Biarlah, kata saya dalam hati. Saya tidak punya apa-apa kepentingan selain menjaga hak bersahabat. Dia berhak mendapat kebenaran. Mungkin itu yang semakin kurang didengarnya.
Ya, betapa ramai orang yang berjaya dan berada di atas rosak peribadinya dek kata-kata yang hanya memuji, memuja dan mengampu daripada bawahannya. Betapa ramai atasan keliru antara kesetiaan dengan sikap mengampu bawahannya.
“Salahkah aku menjadi kaya?” soalnya. Kali ini dia mula menyuarakan kekeliruannya.
Tetapi saya mula tersenyum. Selalunya kita diterjah oleh soalan “kalau aku kaya”, tetapi sekarang “salahkah aku jadi kaya?”
Pengorbanan Untuk Kaya
“Untuk jadi kaya kau tentu telah banyak berkorban,” kata saya tanpa menjawab soalannya.
“Ya, aku telah banyak berkorban masa, tenaga dan lain-lain,” akuinya.
“Itu biasa. Setiap yang diburu pasti ada harganya. Tetapi mungkin harga yang kau bayar terlalu mahal.”
“Maksud kau?”
“Kau kehilangan masa bersantai dengan kawan-kawan, melakukan aktiviti yang menyegarkan dan ceria seperti dulu.”
“Maksud kau lepak-lepak di masjid, berekreasi dengan kawan-kawan, menanam pokok-pokok bunga dan menjala ikan di sungai?”
Saya mengangguk kepala.
“Itu aku akui. Aku tidak ada masa lapang.”
“Mungkin kau perlu melapangkan masa,” tegur saya.
Dia diam. Merenung jauh. Jiwa sentimentalnya mula terserlah kembali. Itulah wajah sahabat yang sering mengalirkan air mata apabila kami berbual tentang cita-cita, harapan, kehidupan, kematian, solat, zikir dan hal isteri dan anak-anak.
“Untuk apa kau cari harta?” terjah saya.
“Untuk kesenangan.”
“Walaupun terpaksa mengorbankan sedikit ketenangan?”
“Pada aku kesenangan itulah memberi ketenangan.”
“Jadi mengapa kau menoleh ke belakang? Teruskanlah mara ke hadapan.”
“Sesekali aku dilanda jemu dan sedikit keliru.”
Saya senyum. Ingin saya katakan, jangan cuba-cuba membeli ketenangan dengan kesenangan. Kualiti jiwa tidak akan dapat diganti oleh kuantiti harta.
“Kejemuan, kesepian dan kekeliruan itu adalah satu isyarat.”
“Isyarat? Maksud kau?”
“Isyarat untuk kau berfikir dan bermuhasabah kembali.”
“Itulah sebabnya aku bertemu dengan kau sekarang. Kita sering bermuhasabah. Kau seorang yang berani bercakap benar sejak dulu. Aku menunggu saat ini sahabat,” katanya berterus terang. Dia semakin sentimental. Matanya berkaca.
“Setahun terlalu lama. Dekat tetapi jauh.” Kali ini saya pula terus-terang.
Memang saya juga terasa sedih melihat sahabat rapat yang sudah menjarak. Setahun terlalu lama, dan jarak rumah antara kami yang hanya puluhan kilometer itu tidak jauh sebenarnya. Mungkin semua itu kerana jaraknya hati. Namun alhamdulillah, kini jarak hati itu terasa ingin rapat kembali. Asas persahabatan yang terbina puluhan tahun sejak di universiti dulu masih kukuh. Pangkal persahabatan yang kukuh itu kini dirujuk kembali.
“Bantu aku bermuhasabah,” pintanya.
“Mencari kekayaan sesuatu yang tidak ada penghujungnya. Terutamanya apabila RM 1 juta sudah dimiliki. Peluang akan semakin terbuka, jalan semakin jelas. Dua, tiga juta yang kedua akan menjadi semakin mudah. Pada waktu itu kita seolah-olah kita sudah jadi ‘King Midas’. Apa yang disentuh semuanya menjadi emas,” jelas saya.
“Ya, ya. Benar. Mengapa kau begitu arif? Kau pernah berada di tahap itu?”
“Aku hanya belajar daripada orang yang arif,” pintas saya.
“Aku berada di tahap itu sekarang,” katanya terus terang.
Dilema Seorang Jutawan
“Pada ketika itulah kau berada di satu persimpangan, untuk menjadi lebih kaya dengan pecutan yang semakin laju tanpa menoleh ke belakang lagi. Atau memperlahankan sedikit pecutan untuk menilai kembali apa yang telah kau tertinggal.”
“Aku rasa ada yang aku tertinggal. Maksudnya, ada perkara yang telah aku korbankan.”
“Berbaloikah pengorbanan kau?”
“Maksud kau?”
“Apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu. Kita tidak akan dapat dua perkara pada satu masa yang sama.”
“Jadi?”
“Pastikan apa yang kau dapat lebih berharga berbanding apa yang kau hilang.”
“Apa yang aku hilang? Aku punya kawan-kawan baharu. Aku punya gaya hidup yang baharu. Rumah, kereta dan rutin hidup yang baharu.”
“Kau gembira? Kau puas dengan semua yang baharu itu?”
Dia tersentak. Matanya terjegil sedikit.
“Harta yang melimpah tetapi disertai kesibukan. Rumah yang besar tanpa kesantaian. Kawan baharu menghampir, kawan lama meminggir. Serius, fokus sepanjang waktu tanpa gurauan dan ketawa yang menghiburkan. Sahabatku, sangat sukar memburu kesenangan tanpa kehilangan ketenangan.”
“Jadi kau rasa aku berubah?”
“Ya, kau berubah.”
“Berubah ke arah yang lebih buruk atau baik?”
“Terpulang. Buruk atau baik terpulang pada tafsiran dan pilihan kau. Tetapi yang pasti kau tidak akan dapat semua.”
“Apakah nasihat kau?”
“Pecutlah terus ke hadapan. Tetapi sebelum itu lihat apa yang telah tertinggal. Kutip semula apa yang telah tercicir tetapi sangat berharga. Jadilah jutawan yang tidak kehilangan keceriaan, kesantaian, senyuman, ketawa dan masa lapang.
Carilah semula sahabat-sahabat lama. Ziarah yang sakit, penuhi undangan, hadir pada hari kematian untuk solat jenazah dan akhirnya ke pusara sebagai penghormatan terakhir. Jangan memburu duit sehingga tidak sempat menikmati duit. Jangan kau katakan kekayaan ini untuk ummah jika dalam pemburuannya kau alpa menunaikan hak kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.”
“Wah, panjang nasihatmu.”
Saya memeluk dan merenung matanya. Mata kami sama-sama basah dan berkaca. Air mata mengalir tanpa sedar. Sama-sama kami jadi sentimental seperti masa lalu. Pada ketika itulah saya bisikan ke telinga, “…panjang, sebab aku menyimpannya sejak setahun yang lalu!”