Ini cerita benar. Ini cerita petua seorang ayah untuk kebaikan anaknya. Kisah ini sangat dekat dengan diriku. Begini kisahnya:
Entahlah apa yang selalu bermain di fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak.
”Ada duit? Minta ayah sedikit…”
Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujur, isteri dan anak-anak saya sudah pun faham. Alhamdulillah mereka ’sporting’ dan tidak banyak meragam.
”Emak, ayah asyik minta duit… Bukan tak mahu bagi, tapi memang tak ada duit,” bisik saya kepada emak.
Emak seperti biasa, berwajah selamba. Sukar di tebak reaksinya.
”Bagilah beberapa yang ada,” cadang emak pendek.
”5 ringgit?”
Emak mengangguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 RM…. Tapi kerana tidak mahu hampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.
Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada di perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa lagi yang memberi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih ’untung’ 5 ringgit. Geli hati mengenangkannya.
Begitulah selalunya tahun demi tahun. Bila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi wang ’permintaan’ ayah. Kekadang terlupa, tetapi ayah selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan ’peruntukan’ khas untuk diberi kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ’ekonomi’ saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap permintaannya dan tetap senyum bila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ’ketajaman’ rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).
Begitu pun, setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setia memasukkan duit yang melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana ’tidak ada’, tetapi ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.
Namun, secara bertahap-tahap, buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya sekeluarga mula pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.
”Nanti, besarlah kereta kamu ni…” ujar ayah senyum.
Apapun, saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali hendak pulang. Wang saya hulurkan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.
”Eh, tak payahlah ayah…” Sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga dah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun dengan perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu. Tetapi sengaja dia tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.
”Kenapa, dah kaya?” usik ayah. Hendak tak hendak, duit di kocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi ’dikebas’ oleh saya. Dan dalam hati, saya mula merasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkannya ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.
Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta. Di samping penulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh kerana bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli sebuah MPV untuk kegunaan jarak jauh dan sebuah lagi kereta untuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun bagaimana sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya, ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya… Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana ’kekurangan’ atau ’kelebihan’ kami. Tetapi dia memberi kerana Allah… Mencontohi Allah Al Wahhab itu!
Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kita kongsi bersama:
”Kini aku benar-benar faham bahawa ibu-ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka bukan ’liabiliti’ tetapi sebenar mereka adalah aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang ataupun tidak tepat, kerana ibu bapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya…”
”Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri, walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. Doa mereka mustajab. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. Keredaan Allah itu terletak kepada keredaan ibu bapa.”
Baiklah, anda pembaca bagaimana? Inilah cerita benar yang jarang didengar. Inilah rahsia ’perniagaan’ yang jarang diperkatakan oleh para korporat. Juga tidak ditulis dalam mana-mana buku perniagaan… Masih mempunyai ibu bapa? Memberilah kepada mereka. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja… Kita mesti sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!