Quantcast
Channel: Genta Rasa
Viewing all articles
Browse latest Browse all 172

DNA RASUAH…

$
0
0

images “Hampir semua orang buat begitu…”

“Jika semua orang buat sekalipun, yang salah tetap salah,” balas saya.

Begitulah perbualan kami berdua tentang sikap curi tulang dan curi masa dalam kalangan pekerja di syarikat tersebut. Sikap melambat-lambatkan kerja, berehat bukan pada masanya dan bersembang-sembang kosong hampir menjadi budaya di situ.

“Lagipun itu hanya perkara kecil. Tidak perlu dibesar-besarkan,” kilasnya lagi.

“Mahu saya ceritakan perkara yang lebih kecil daripada itu?”

Tanpa menunggu anggukannya, saya mula bercerita. Cerita Khalifah Umar Abdul Aziz dengan anaknya. Satu malam anaknya datang ke tempat kerja ayahnya untuk menceritakan suatu masalah.

“Masalah negara atau keluarga?” tanya Umar Ibn Aziz.

“Masalah keluarga, ayah,” jawab anaknya.

“Jika demikian, padamkan lampu tempat kita bercakap ini.”

“Mengapa ayah?”

“Kerana duit membeli minyak bagi menyalakan lampu ini daripada duit negara. Duit rakyat. Bukan duit kita.”

Dia terdiam. Mula berfikir dan menghayati, agaknya. Harap saya begitulah. Sudah setengah jam kami berbincang mengenai ketirisan dan kebocoran yang melibatkan integriti di tempat kerja.

“Hanya beberapa titisan minyak… mengapa begitu sekali gementarnya khalifah?”

“Dia gementar dengan dosa.”

“Tetapi masih dosa kecil, bukan?”

“Dia bukan hanya melihat dosa tetapi kepada siapa dia berdosa. Dosa itu kepada Allah. Allah Maha Besar.”

“Allah yang Maha Pengampun.”

“Ya, Allah juga menegaskan kebaikan dan kejahatan sebesar zarah pun akan mendapat balasan.”

Lalu saya kongsikan satu hadis daripada seorang sahabat tentang rasa  berdosa dalam kalangan manusia. “Sesungguhnya orang Mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung, yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata, ‘dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang.’” (Riwayat al-Bukhari)

“Oh, begitu. Kalau begitu beratlah… kita ni bukan setakat beberapa titisan minyak tetapi lebih daripada itu.”

“Itulah yang saya katakan tadi, kita perlu rasa berdosa. Dengan rasa itu kita terdorong untuk bertaubat dan berhenti melakukannya.”

“Itu sahaja?”

“Belum cukup sebenarnya. Kita perlu minta halal, minta maaf dan minta reda kepada siapa yang tipu, zalimi dan kita curi haknya. Maklumlah dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah ini melibatkan dosa kita dengan manusia. Syarat taubatnya tambah satu lagi berbanding dosa kita kepada Allah,” kata saya cuba menjelaskan.

Alhamdulillah, akhirnya dia berlembut. Sejak tadi perbualan kami jadi tegang sedikit kerana satu isu…  isu babi!

 

Antara dua Dosa

Saya masih ingat bagaimana dia ‘mengamuk sakan’ apabila saya katakan dosa curi tulang, curi masa dan tidak amanah lebih berat daripada dosa ‘termakan’ DNA babi.

“Biar betul, babi haram di sisi Islam. Sosej bersalut usus babi dan coklat yang dicemari DNA babi ini mencabar keimanan kita!” bentaknya keras.

“Benar itu haram. Kita perlu jauhi. Tetapi saya membandingkan antara dua dosa. Dosa makan rasuah misalnya, lebih besar daripada makan babi,” jelas saya perlahan. Risau juga terjerat dalam emosi apabila berbincang soal-soal agama. Agama ini bersandarkan ilmu, bukan emosi.

“Apa sebabnya awak berani cakap begitu?”

“Dosa makan babi selalunya kerana umat Islam ‘termakan’. Maksudnya, bukan sengaja menempahnya. Kebanyakannya, kerana tidak segaja atau kurang teliti. Dalam syariat, jika kita bebuat dosa secara tidak sengaja, maka kedudukannya tidak berdosa.”

“Bezanya dengan rasuah?” tanyanya. Saya melihat dari reaksi mukanya dia sudah dapat ‘menangkap’ apa yang saya akan katakan. Cuma dia menunggu untuk menambah kepastian.

“Rasuah, curi masa dan culas bekerja ini adalah perbuatan yang memang disengajakan. Ini dosa yang sengaja. Malah adakalanya dirancang dan dilakukan dengan teliti tetapi tersembunyi.”

“Maksud awak dosa rasuah?”

“Ya, begitulah. Ia selalunya dibuat dengan teliti untuk menyembunyikan bukti. Dosa rasuah lebih besar dari dosa makan babi kerana, pertama, ia dibuat dengan sengaja. Kedua, rasuah adalah dosa yang melibatkan manusia. Ia adalah perbuatan khianat dan pecah amanah.”

“Pecah amanah itu sifat munafik kan?”

Saya cuma diam. Dia bukan minta pengesahan, hanya meluahkan.

“Tapi dosa makan babi akan mengotorkan hati. Bila hati kotor, kemahuan untuk melakukan kebaikan jadi lemah, keinginan melakukan kejahatan pula jadi tinggi. Begitu yang saya dengar dari ustaz-ustaz.”

“Itu juga yang saya dengar dari para asatizah kita. Tetapi saya juga mendapat maklumat dan ilmu, bahawa bukan sahaja ‘zat’ sesuatu makanan haram itu sahaja yang mengotorkan hati tetapi daripada mana sumber makanan itu juga mengotorkan hati.”

“Zat, sumber? Saya tidak berapa jelas,” akuinya terus-terang.

 

Pastikan Sumbernya Halal

“Misalnya, babi itu haram. Tetapi ayam juga boleh jadi haram… apabila cara mendapat ayam itu dengan mencuri, menipu dan sebagainya. Ketika itu, daging ayam sudah menjadi haram. Memakan daging ayam ini akan menggelapkan hati.”

“Wah, daging babi dengan daging curi sama-sama dosa!”

“Begitu juga dengan duit rasuah yang digunakan membeli makanan, pakaian, kereta, mendirikan rumah, melanjutkan pelajaran anak-anak, memulakan perniagaan, simpanan cucu cicit malah melakukan haji dan umrah. Semuanya haram. Makan babi sekali, dosanya terhenti. Tetapi makan rasuah, dosanya bertingkat-tingkat, berkembang dan berpanjangan.”

“Betul juga. Semasa saya remaja dulu, pernah saya tegur kawan yang mencuri ayam di kampung…” katanya membukan kisah lama.

“Menarik tu…” saya meraikan.

“Masa mereka hendak makan ayam curi tu mereka sembelih juga guna nama Allah. Takut tidak sah. Takut tidak halal. Pada hal, ayam itu ayam curi…”

Dia ketawa. Saya turut ketawa. Kejahilan kekadang melucukan namun tetap membahayakan.

Saya teringat cerita seorang sahabat yang pergi ke Bosnia Herzogovina suatu ketika dulu. Ketika kejahilan begitu mencengkam umat, pada ketika itulah tentera Serb mengganas. Satu hukuman atau didikan? Wallahua‘lam. Namun, menurut sahabat saya kejahilan sesetengah umat Islam ketika itu sangat menjengkelkan. Bayangkan, ada yang mula meminum keras dengan membaca bismillah…

Namun, dalam hati saya tersenyum. Ironinya, betapa ramai ketua keluarga yang ‘selesa’ membaca doa makan, ketika wang yang membeli keperluan hidupnya dari jenayah rasuah. Betapa ramai ketua keluarga dan masyarakat yang terus (kononnya) membuat pelbagai kebajikan dan kebaikan dengan dana yang dicemari rasuah!

 

iiiii

Melihat saya termenung panjang, dia cuba mengalih sedikit hala perbualan. “Susah juga prosedur untuk mengesan DNA babi dalam makanan. Ia perlukan kaedah yang begitu saintifik dan spesifik. Dengan mata kasar dan lidah biasa… sama sahaja makanan yang dicemari DNA babi dengan yang tidak dicemari babi.”

Saya mengangguk dan membalas, “ayam yang dibeli dengan duit halal dan duit rasuah sama juga rasanya. Malah, kalau kena cara masaknya, resipi dan bumbunya… ayam rasuah mungkin lebih enak.”

Saya masih dalam ‘mode’ dan ‘mood’ perbualan yang sama. Umat ini perlu meninggalkan yang haram bukan kerana adat atau kebiasaan nenek moyang. Benarkah kita tinggalkan babi dan anjing kerana iman dan Islam? Jika benar kerana iman dan Islam mengapa rasa jijik kita terhadap rasuah, judi, riba, dedah aurat, arak tidak sejijik kita terhadap babi dan anjing? Malah rasuah dan perkara-pekara haram itu seharusnya lebih dibenci daripada babi dan anjing.

Bayangkan, orang bukan Islam yang menilai agama ini mengikut pengamalan umatnya. Jika beginilah cara kita mengamalkan agama ini, tertarikkah mereka kepada ajaran Islam? Saya masih ingat, pesan ‘songsang’ seorang kawan di kampung kami dahulu. Kebetulan kampung kami bersebelahan kebun sayur milik kaum Cina. Katanya, “curi sayur Cina tidak mengapa, dia kafir…”

Ya, apa hendak dihairankan kejahilan semasa kecil yang dibuat secara kecil-kecilan. Sedangkan kini kejahilan yang besar-besaran sudah diamalkan secara sedar dan gah. Tiba-tiba satu rasa yang meluap-luap meruap di dalam dada. Tanpa dapat ditahan meluncur kata, “mungkin DNA rasuah lebih sukar dikesan.”

 

Mengesan DNA Rasuah

“Apa DNA rasuah?” sampuk teman bual saya yang masih di sebelah.

“Mungkin DNA rasuah lebih saintifik dan spesifik. Kerana itu ia lebih sukar dikesan. Masih ada yang tega, rela dan bangga membaham harta haram melalui jalan yang haram,” tegas saya.

“Wah, di mana makmal untuk mengesan DNA rasuah itu?”

“Dalam hati pada dada orang yang takutkan dosa dan neraka seperti Sayidina Abu Bakar dan Imam Syafi‘i,” tambah saya.

Lalu perbualan kami bersambung lagi, tentang cerita kemampuan figur muttaqin yang mampu mengesan DNA rasuah. Kisah Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang masuk ke perutnya apabila disedari susu itu diperolehi daripada cara yang haram. Bagaimana cerita Imam Syfi‘i yang tidak makan kambing selama usia seekor kambing apabila diketahuinya seekor kambing untuk zakat sudah terlepas dan bercampur gaul dengan kambing-kambing lain.

Mereka berdua takut ‘termakan’ dan ‘memakan’. Tetapi kini umat ini hanya takut ‘termakan’ tetapi tidak takut ‘memakan’.  Aneh, bukan?



Viewing all articles
Browse latest Browse all 172